Petikan penyuntik semangat:
Namun, langit mana yang tidak pernah mendung, bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Jalan ini bukan jalan mudah. Jalan ke syurga tak mungkin semudah yang disangka. Bermacam-macam dugaan boleh menimpa. Bagi yang tidak pernah dipaksa, tiba-tiba dia dipaksa buat itu dan ini. Siapa yang tak pernah makan dulang, tiba-tiba terpaksa makan dalam dulang bersama rakan-rakan yang baru dikenali. Bukankah itu sesuatu yang mengejutkan untuk orang baru dalam jalan ini. Namun percayalah, tarbiyah bermula dengan titik yang paling kita lemah. Jika kita jenis yang tak boleh dipaksa, tarbiyah datang pada kita dalam bentuk kita terpaksa. Disini gunanya fungsi iman dan takwa. dalam kita keliru, kita rasa terpaksa. Namun perlu bijak menilai, mana imani, mana pula nafsunya.
Dalam tengah semangat berjuang atas jalan dakwah ini. Tiba-tiba berlaku pula perkara kurang senang. Kita pula terkecil hati dengan rakan-rakan seperjuangan. Kita jadi keliru. Semangat kian hilang. Kata-kata mengguris rasa terngiang-ngiang di telinga. Ketika ini juga yang berperang hanyalah dua. Nafsu dan iman. Disini peranan hati untuk menilai. Disini peranan kita untuk berlapang dada kerana berlapang dada adalah tingkatan terendah dalam dakwah. Jadi nilai kembali diri kita dimana kita jika masih tidak mampu mencapai tingkatan terendah itu. Mencari buruk orang lain bukanlah perkara yang diseru Islam kerana manusia itu sendiri tidak lepas dari melakukan kesilapan.
Janganlah kerana manusia, kita bertekad ‘lari’ dalam jalan ini. Itu bukan sikap hamba yang Allah sayangi. Sesungguhnya jalan dakwah ini penuh ujian, jika setakat berkecil hati dengan rakan, itu hanyalah sekecil-kecil ujian. Banyak lagi ujian yang tidak pernah terbayang dek diri sendiri menanti kita di hadapan. Bukan kerana Allah mahu kita lemah, tapi Allah mahu kita lebih kuat kerana bersabar dan berlapang dada itu kejayaan bagi orang-orang yang diuji. Dugaan kecil begitu bukan penghalang kita atas jalan dakwah tapi sebagai penguat dan titik tolak untuk muhasabah diri.
Cuma kene beringat-ingat, jalan dakwah ini jalan mencari redha Allah. Tidak ada sesuatu pun yang boleh menghalang kita dari jalan ini jika redha Allah masih di damba. Jalan dakwah ini jalan menuju syurga Allah, jalan lelaki menuju bidadari mereka, jalan wanita menuju emas permata di syurga. Mana mungkin jalan menuju kebahagian hakiki itu semudah mengelipkan mata. Jalan ini tidak seindah pandangan mata. Pangkalnya jauh hujungnya belum tiba.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (9:111)
p/s: Yakinlah dengan firman Allah SWT :
“Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari keredhaan kami, benar-benar Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami ” (al-Ankabut : 69)
Syeikh Imam Al-Ghazali Berkata :
‘‘Mujahadah adalah kunci hidayah tidak ada kunci untuk memperoleh hidayah selain Mujahadah”
0 comments:
Post a Comment