Thursday, September 15, 2011
Tuesday, August 16, 2011
Cara Menegur Ibu Bapa
Masalah di atas ini agak rumit untuk menyelesaikannya, kerana anak tidak boleh mengecilkan hati kedua ibu bapanya. Firman Allah yang bermaksud :
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).” (Al-Isra : 23)
Sebagai anak yang bertanggungjawab untuk memelihara dan mencegah kedua ibu bapanya dari siksaan api neraka Allah yang sangat dahsyat. Untuk menegur kedua ibu bapa ini perlu mempunyai metode atau kaedah yang sangat halus (hikmah) supaya hati dan perasaannya tidak terguris. Cara hikmah ini boleh digunakan dengan cara pertuturan yang baik dengan rasa merendah diri kepada kedua ibu bapa. Contohnya “mak saya mohon maaf atas segala kesalahan atau derhaka saya terhadap mak, saya sebenarnya hendak menegur mak atas kesilapan yang telah mak lakukan seperti keluar rumah walaupun sejengkal mesti menutup aurat, ini bukan kehendak saya, tapi ini kehendak Allah. Orang yang tidak menutup aurat akan dibakar rambutnya di akhirat nanti, takut mak siksaan Allah”. Ini sebagai contoh sahaja, mungkin anda semua mempunyai ayat yang lebih halus dan hikmah untuk menegur kedua ibu bapa anda. Kalau anda semua ada pendapat mengenai masalah ini boleh dikongsikan di ruangan komen di bawah ini.
Ada setengah ibu bapa, mereka lebih suka dengan cara berbincang diwaktu-waktu lapang dengan anak-anak mereka di rumah atau di luar rumah. Kalau cara ini mengikut hemah saya, lebih mudah sedikit dari cara di atas, kerana ibu bapa yang bersifat terbuka lebih mudah untuk ditegur, selalunya mereka tidak akan berkecil hati akan teguran anak-anak mereka. Ibu bapa yang terbuka juga mudah untuk menerima segala pandangan anak-anak mereka dengan hati yang ikhlas dan bersifat kekeluargaan. Anak-anak yang mempunyai ibu bapa seperti ini, boleh menegur dengan cara terus terang tanpa ada ayat-ayat bunga bagi anak yang tidak pandai menggunakan ayat-ayat bunga. Walaupun ibu bapa anda bersifat terbuka, maka lebih baiklah anda gunakan juga bahasa-bahasa yang berbunga dan cantik di dengari oleh ibu bapa anda dan hatinya tenang dan mudah menerima segala teguran yang hikmah.
Ada sebahagian ibu bapa yang egois atau tidak mahu langsung mendengar teguran anak-anak mereka dengan alasan mereka lebih dahulu makan asam garam dari anak-anak mereka. Ini juga susah untuk menegur kesalahan yang telah dilakukan oleh ibu bapa. Menurut saya, ibu bapa seperti ini boleh ditegur dengan menggunakan orang lain yang rapat dengannya, seperti saudaranya yang dipercayai, ayah (tok wan) dan ibu (nenek) mereka, sahabat mereka dan sesiapa sahaja yang rapat dengan mereka. Selalunya mereka akan mudah menerima teguran dari orang yang dipercayai atau dihormati oleh mereka. Malah mereka akan akur dengan segala teguran orang tersebut.
Ada juga ibu bapa yang langsung tidak boleh terima teguran anak, sahabat, saudaranya, teman-temannya dan sesiapa sahaja. Ini sangat susah dan perlu mempunyai strategi yang baik menurut kemampuan anak tersebut. Selalunya teguran dari anak akan kesalahan ibu bapa tersebut, mereka akan mengatakan bahawa anak tersebut derhaka dan masuk ke neraka. Persoalannya siapa yang derhaka dan siapa yang berdosa, anak tersebut tidak berdosa dan tidak derhaka dan cuma menjalankan kewajipan sebagai seorang anak yang soleh dan solehah. Nasihat saya, kepada sesiapa yang ingin menegur kesalahan ibu bapanya, jangan takut dengan istilah derhaka dan dosa jika teguran anda betul dan mengikut segala teknik yang ada dalam dakwah Islam. Kecualilah teguran anak dengan menggunakan perkataan yang kesat, kasar atau sebagainya untuk menegur kesalahan ibu bapanya, maka hal ini barulah dikatakan dosa. Untuk mengetahui teknik atau cara menegur yang lain dari saya nyatakan di atas ini boleh klikkan di sini.
Kesimpulannya, sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan melaksanakan amanah Allah terhadap kedua ibu bapanya, mestilah menegur kesalahan ibu bapanya dengan cara yang baik dan hikmah. Kerana anak tersebut telah memelihara ibu bapanya dari siksaan api neraka Allah. Jangan takut kepada segala kesulitan yang akan dihadapi, takutlah kepada Allah yang sentiasa memerhatikan perbuatan dan percakapan kita. Jadi seorang anak yang soleh dan solehah dan sentiasa mendoakan kebaikkan kepada kedua ibu bapanya. Doa kepada kedua ibu bapa :
Thursday, November 25, 2010
Aku buat sebab aku CINTA!
"Kerana cinta dik."
"Cinta? Oo. Ni mesti sebab kawan akak nak jadi doktor, akak pun nak jadi doktor eh? kan?"
"Kerana cinta akak pada Allah dan Rasulullah."
Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah hubungannya kerjaya doktor dengan cinta kepada Allah dan Rasulullah. Cinta itu membuatkan kita mendalami, menghayati, dan menyusuri setiap apa yang kita cintakan. Cinta itu membuatkan kita menghayati satu hala tujuan itu dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh hati, walau ada halangan yang datang, cinta membuatkan kita tetap teguh dalam menyusuri langkah cinta kita.
Ramai bertanya kenapa nak jadi doktor? Kerja doktor ni kan busy. Awak tu dah la perempuan. Tetapi hati ini tetap dengan jawapan sendiri. Kerana Islam. Kerana Allah. kerana Rasul. Kerana cinta. Kerana Cinta itu Dakwah!Dan dakwah itu adalah perjuangan Rasulullah. Aku cintakan Rasulullah. Kerana itu semualah aku tetap berada di jalan ini. Kerana itu jugalah aku di sini menggunakan segala tenaga aku untuk memenuhi kehendak cinta aku itu..
Dalam jalan yang dipilih ini, aku tidak memandang kerjaya doktor ini sebagai satu 'MATERIAL' semata-mata. Percayalah, jadi doktor ni tak seperti yang kamu sangka. Pendapatannya tak setimpal dengan apa yang kamu buat untuknya. Cuma pahala sahaja yang setimpal dengan apa yang kita kerjakan..InsyaAllah..
" Jadi kenapa akak nak jadi Obstretician n Gynaecologist (OnG) pulak? Jadilah yang senang-senang je. Anasthesia ke.. Pakar kulit ke.. Yelah, nanti kahwin susah. dengan anak lagi. siapa nak jaga."
"Akak nak jadi sebab cinta jugak. Cinta akak pada Islam. Dalam Islam sepatutnya pakar sakit puan (OnG) tu haruslah doktor muslimah. Jika tiada doktor muslimah, barulah doktor muslim, jika tiada doktor muslim barulah doktor non-muslim. Cinta itu kan membuatkan kita sangat-sangat nak memenuhi kehendak yang kita cintai itu. Itulah indahnya cintakan Islam."
Ya, aku tahu semua itu kehendak masing-masing. Sahabat-sahabat aku selalu mempertikaikan kehendak aku itu. Ada yang cakap OnG ni dahla kena deal dengan 'privacy' orang. Kadang-kadang dorg tak titik beratkan 'hygiene' dorg. Tak sanggup!
Bagi aku sebagai muslimah aku amat bertanggungjawab dalam hal ini. Pada akhir zaman ni golongan wanita lebih ramai dari golongan lelaki. Tetapi pernah terfikir tak kenapa OnG ni lebih ramai golongan lelaki dari golongan wanita? Kemana golongan wanita pergi? Kemana mereka untuk menunaikan kehendak agama sendiri? Fikir-fikirkanlah.. Dan aku ingin menjadi golongan yang menunaikan kehendak agama.
Ya. Aku tahu amat susah menjadi OnG. Tetapi bukankah mereka yang menolong agama Allah itu akan ditolong oleh Allah?

Subhanallah. Sebenarnya jalan kita ke syurga ini tidak pernah mudah. Semuanya perlukan pengorbanan, perjuangan yang tidak pernah kenal erti lelah. Ingatlah wahai sahabat, ini juga jalan dakwah dan dakwah itu sendiri tidak mudah. Amat memerlukan pengorbanan. Sangat memerlukan pengorbanan! Kita lihat sendiri bagaimana Rasulullah saw dalam dakwahnya. Penat lelahnya menegakkan Islam dimuka bumi ini. Adakah kita sebagai umatnya tidak mahu meneruskan perjuangannya yang pernah baginda mati-mati perjuangkan dahulu? Tidakkah kita sedih jika melihat Islam ini terkapai-kapai tanpa ada penjuru-penjuru agama yang mengukuhkan kemuliaan Islam? Wallahualam.
p/s: Jomlah jadi OnG wahai sahabat-sahabat akhawat sekalian. Meramaikan pakar sakit puan wanita. Tak sanggup tengok ramai pakar sakit puan lelaki. T_T
Thursday, November 4, 2010
Subhanallah.. Aku pun nak TAQWA, tapi..
Menjadi seorang Islam itu mudah. Apabila kita sudah mengucapkan dua kalimah syahadah, kita sudah pun menjadi seorang Muslim. Tetapi adakah sekadar Muslim itu mampu menjamin dosa kita diampunkan? Mampukah menjamin kehidupan kita di akhirat kelak? Mampukah menjamin amalan kita akan diterima oleh Allah swt.? Mampukah menjamin pembelaan kita daripada Allah swt? Mampukah menjamin pertolongan kita daripada Allah swt? Sebenarnya inilah yang menimbulkan banyak persoalan dilubuk hati ana.
Dengan taqwa, baru kita akan faham tentang Islam dengan lebih baik. Bila kita menjadi orang yang bertaqwa, barulah kita akan mendapat pembelaan Allah. Bila kita menjadi orang bertaqwa, barulah dosa kita diampunkan oleh Allah swt, rezeki kita melimpah ruah tak tahu dari mana asalnya, kita akan mendapat pembelaan dari Allah swt, dan yang lebih baik kita akan mendapat pimpinan dari Allah swt sendiri. Subhanallah! Betapa seronoknya menjadi orang yang bertaqwa.. Kalau kita usaha sikit, Allah akan bagi banyak. Kalau kita usaha banyak, apatah lagi lebih banyak Allah bagi.
Firman Allah swt:
“Barang siapa yang bertaqwa pada Allah, Allah beri jalan keluar dari kesusahan dan akan diberi rezeki dari arah yang tidak terduga-duga”. (QS At Talaq 2 – 3)
“Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah, Allah akan mempermudah segala urusannya“. (QS At-Talaq 4).
”Allah menjadi pemimpin (pembela) bagi orang yang bertaqwa”. (QS Al-Jasiah 19)
”Sesungguhnya amal ibadah yang diterima dari orang yang bertaqwa” (QS Al-Maidah 27).
“Dan jika ada penduduk sebuah kampung itu beriman dan bertaqwa, maka akan Allah bukakan berkat dari pintu langit dan bumi”. [Q.S. Al-A'raf : 96]
Jadi, kalau kita sudah menjadi orang Islam, kita tak sepatutnya sudah berbangga. Ana tak cakap yang kita tak payah bangga dengan agama kita, tapi menjadi seorang Islam sahaja tiada jaminan dan pembelaan disisi Allah. Sebab itulah, rata-rata umat Islam sekarang hanya menjadi seorang Islam dan bukan menjadi orang yang bertaqwa. Sebab tu tiada pembelaan Allah. Bila tiada pembelaan dari Allah, kita dapat lihat sendiri keadaan umat Islam sendiri yang berpecah belah, musuh-memusuhi, pergaduhan sesama sendiri. Adakah itu apa yang dianjurkan dalam Islam? Walhal umat Islam itu sendiri yang memberi pandangan fitnah tentang agama Islam itu sendiri. Adakah itu yang ingin kita banggakan? Dan bagaimana cara penyelesaian keadaan ini? TAQWA itu sendiri. Sebab tu, kini ramai je umat Islam tapi tak berguna. Bagai buih di lautan.
Oleh itu, kita mestilah bersungguh untuk mencapai tahap Taqwa tu. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai cita-cita untuk membangunkan Islam. Orang yang bertaqwa tidak hanya ingin memperbaiki dirinya sahaja, tetapi dia juga mempunyai cita-cita untuk memperbaiki masyarakat juga. Untuk mencapai tu, dia mestilah memahami bagaimana nak memperbaiki dirinya sendiri dan bagaimana nak memperbaiki masyarakat.
Ada 8 syarat untuk menjadi orang soleh atau bertaqwa:
1. Dapat petunjuk dari Allah.
“Barang siapa yang Allah kehendaki untuk dineri-Nya petunjuk, maka dilapangkan hatinya untuk menerima Islam”. (QS Al-An’am 125).
2. Faham tentang Islam.
sabda Rasulullah SAW : “Barang siapa yang Allah hendak jadikan dia orang baik, maka dia akan diberi faham tentang Islam”
3. Yakin
4. Melaksanakan
dalam Matan Zubat dikatakan :
“Orang yang berilmu tapi tidak beramal akan masuk ke Neraka 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala”
5. Bermujahadah
sabda Rasulullah SAW :“Musuh yang paling memusuhi kamu adalah nafsu yang ada di antara dua lambungmu”.
ada hadits yang mengatakan : “Tidak dianggap seseorang itu berani bila ia dapat mengalahkan musuhnya, tetapi dianggap berani, jika seseorang itu dapat melawan hawa nafsunya.”
”Mereka yang berjuang untuk melawan hawa nafsu karena hendak menempuh jalan Kami, sesungguhnya Kami akan menunjuki jalan Kami. Sesungguhnya Allah itu beserta dengan orang yang berbuat baik”. (QS Al-Ankabut 69).
6. Istiqamah beramal
7. Ada pemimipin yang memimpin
8. Berdoa kepada Allah
Thursday, October 28, 2010
Kisah pertunangan 'aku' dan si 'dia'..
Aku hanya seorang Muslimin biasa. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq, aku juga tidak sehebat Saidina Umar al-Khattab dalam berbakti, aku bukan seperti Saidina Uthman bin Affan, bukan juga seperti Saidina Ali yang keempat-empat ini merupakan sahabat-sahabat nabi yang begitu kuat dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang muslimin yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabat yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah mengkhitbah seseorang yang begitu istimewa apabila mendengar khabar-khabar angin bahawa aku sudah bertunang. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.
Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah dan serban. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.
"ya syeikh sahabatku, anta dah bertunang ke? Mesti hebat muslimah tu sampai anta terpikat. cantik tak?"
Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan ana dengan Allah. Itu yang paling utama."
Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah betunangkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabat juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enta menikah?"
Aku tiada jawapan khusus.
"Insya Allah, tiba waktunya nanti enta akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana tau!" sahabat ana tersenyum megah.
"Kalau enta tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.
"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku sudah pun melamar dan bertunang dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan ya..."
Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Ya syeikh, jom makan!"
Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana puasa."
Sahabat juga semakin galak mengusik.
"Wah, sahabat kita diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, tapi ana mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
..........................
.............
"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah, tenangnya..."
"Moga Allah memberkatinya...."
Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabat ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang aku telah dikhitbahkan oleh Allah..
Dalam sedar tidak sedar...
Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."
Akhirnya, sahabatku bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"anak makcik bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, Adam hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..." Terduduk sahabat-sahabatku mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut la dia selalu menangis... saya tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
sahabat-sahabat masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diariku yang diberikan oleh ibu.
" satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu."
Saturday, July 10, 2010
Kisah benar perempuan di US. Subhanallah!
Ia tentang seorang wanita dari Malaysia yang bekerja di US. Dia memakai tudung dan memiliki akhlak yang bagus.
Suatu malam perempuan ini dalam perjalanan balik ke rumah dari tempat kerjanya. Kebetulan dia mengambil jalan singkat untuk pulang. Jalan yang diambil pula agak tersorok dan tidak banyak orang yang lalu lalang pada masa itu.
Disebabkan hari yang agak sudah lewat, berjalan di jalan yang agak gelap sebegitu membuatkan dia agak gelisah dan rasa takut. Lebih-lebih lagi dia berjalan bersaorangan.
Tiba-tiba dia nampak ada seorang lelaki (kulit putih Amerika) bersandar di dinding di tepi lorong itu. Dia sudah mula rasa takut dan tak sedap hati. Apa yang dia boleh buat waktu tu adalah berdoa ke hadrat Allah memohon keselamatan atas dirinya. Dia baca ayat Kursi dengan penuh pengharapan agar Allah membantu dia disaat itu.
Masa dia melepasi tempat lelaki itu bersandar, dia sempat menoleh dan dapat mengecam muka lelaki itu. Nasib baik lelaki itu buat tidak endah dan perempuan ini selamat sampai ke rumahnya.
Keesokkan paginya, wanita ini terbaca dalam akhbar yang seorang perempuan telah dirogol oleh seorang lelaki yang tidak dikenali dekat lorong yang dia jalan semalam hanya 10 minit selepas dia melintasi lorong tersebut. Muslimah ini yakin benar lelaki kulit putih yang dia lihat semalam adalah perogol itu.
Atas rasa tanggungjawab dia terus ke balai polis dan buat aduan. Wanita ni dapat mengenalpasti suspek melalui kawad cam dan selepas siasatan dilakukan, polis dapat bukti bahawa lelaki tersebut adalah perogol yang dicari.
Tapi perempuan ini hairan juga kenapa lelaki tadi tak jadikan dia mangsa ketika dia melalui lorong tersebut walhal dia keseorangan di masa tu, tetapi lelaki tadi rogol perempuan yang lalu selepas dia. Wanita ini nak tahu sangat sebabnya. Jadi dia minta kebenaran polis untuk bercakap dengan perogol tadi sebelum hukuman dijatuhkan (sebelum lelaki tadi di bawa ke tempat lain).
Dia pun tanya perogol itu..
“Why don’t you do anything to me on that night even though you know that I’m alone?”
(Kenapa awak tak buat apa-apa kat saya malam tu walaupun awak tau saya seorang je masa tu?)
Perogol tu jawab:
“No, you are not alone. That night I saw two young man walking with you. One on your right side and the other one was by your left side. If you were alone of course you will be my victim.”
(Tak, awak bukan berseorangan. Malam tu saya nampak ada 2 orang lelaki berjalan dengan awak. Seorang sebelah kanan awak dan sorang lagi sebelah kiri awak. Kalaulah awak sorang2 malam tu, sudah pasti awak jadi mangsa saya..)
Wanita ni rasa amat terkejut bila dengar penjelasan perogol tu. Dia bersyukur ke hadrat Allah kerana memelihara dia malam itu, mungkin juga berkat ayat Kursi yang dia baca malam itu.
Moral
[Dari Abdullah bin ‘Amr r.a.]
p/s: Mungkin dua orang lelaki yang berada di kiri dan kanan perempuan itu adalah malaikat yang telah diturunkan oleh Allah untuk melindungi perempuan itu pada malam itu. Subhanallah!
Sunday, May 30, 2010
kisah humaira siri 7 (akhir)
Ketika Humaira sedang khusyu’ mendirikan solat sunat Dhuha, Alice pula sedang leka membaca buku-buku yang ada di ruang solat tersebut. Usai menunaikan solat, Humaira terus memanggil Alice.
“Alice, datang sini kejap, Ira nak cerita sesuatu.”
“Hah, cerita apa?” jawab Alice sambil bergerak ke arah Humaira lalu duduk di sini sahabatnya itu.
“Ira nak sambung kisah malam tadi, cerita tentang Ira dan Bukhari.”
“Hmm, tapi Alice takut Ira sedih macam malam tadi.”
“Insya-allah, tidak.”
“Okeylah kalau macam tu, lagipun awal lagi ni kalau kita mahu ke pekan,” jawab Alice.
Humaira terus mula bercerita.
***
Hubungan Humaira dengan Emmy terputus terus. Tetapi itu tidak mengubah apa-apa. Humaira masih sentiasa berhubung dengan Bukhari. Kadangkala mereka berbual-bual melalui telefon sehingga satu dua jam. Cuma mereka masih belum lagi pernah keluar berdua-duaan. Mereka hanya bertemu di kuliah-kuliah feqh, hadith dan aktiviti-aktiviti dakwah. Setakat itu sahaja. Tiada seorang pun di kalangan sahabat-sahabat mereka yang dapat menghidu perhubungan mereka berdua. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak akan membiarkan perhubungan yang berlandaskan nafsu itu berterusan.
Entah kenapa, mungkin kerana sudah terlalu lama asyik berhubung melalui telefon, terdetik di hati Bukhari untuk mengajak Humaira keluar. Humaira menolak, sudah banyak kali permintaan Bukhari untuk keluar bersama ditolak oleh Humaira. Berbagai-bagai alasan diberikan oleh Humaira, takut dilihat oleh rakan-rakan yang lain. Entah bagaimana mudahnya syaitan memerangkap. Tidak terkeluar langsung alasan yang menyatakan bahawa perbuatan mereka itu bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah yang mereka pelajari di dalam kuliah-kuliah yang mereka hadiri.
Hinggalah satu hari, Bukhari sekali lagi mengajak Humaira untuk keluar bersamanya ke Wisma Yakin di Masjid India. Katanya mahu beli kitab-kitab agama terjemahan Indonesia. Puas Humaira menolak, tetapi akhirnya dia tewas jua dengan pujuk rayu Bukhari. Tapi dia memberikan syarat:
“Nanti kita jumpa di masjid India sahaja. Nanti jika di stesen LRT Gombak, ramai student UIA, ana takut nanti ada kawan-kawan kita nampak ana dengan anta,” Humaira menghantar sms kepada Bukhari.
“Ok, Insya-allah, thank you sayang, see you there,” jawab sms Bukhari kepada sms yang dihantar Humaira.
Humaira bersiap. Memilih jubah yang amat jarang dipakainya, dengan tudung labuh berwarna merah jambu yang sedondon dengan warna jubahnya. Minyak wangi turut dipakai, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Humaira apabila mahu keluar.
Tiba di stesen LRT Masjid Jamek, Bukhari sudah kelihatan menunggu. Dia hanya tersenyum melihat Humaira. Mereka berdua berjalan beriringan. Tiada sepatah kata pun keluar. Mungkin masing-masing masih malu kerana inilah kali pertama mereka keluar berdua. Mereka terus ke Fajar Ilmu di tingkat tiga Wisma Yakin. Memilih beberapa buah buku yang akan digunakan di dalam kuliah dan usrah mereka.
Ketika membayar di kaunter, pekerja kedia tersebut hanya tersenyum sahaja melihat mereka berdua, dia berkata:
“Bagus adik berdua, muda-muda dah kahwin,” kata pekerja kedai tersebut kerana menyangka Bukhari dan Humaira adalah pasangan muda yang sudah berkahwin. Siapa sangka gadis bertudung labuh dan pemuda yang kelihatan wara’ dengan kopiah dan janggutnya sebenarnya bukanlah pasangan yang sah.
Tatkala mendengar kata-kata pekerja kedai tersebut, berubah wajah Bukhari dan Humaira. Terus mereka keluar dari kedai tersebut selepas membayar harga kesemua buku yang telah dibeli. Bukhari mengajak Humaira untuk singgah di sebuah kedai makan. Mungkin kerana lapar, lagipun memang ketika itu sudah menjangkau jam dua belas setengah tengahari.
Tatkala selesai menikmati makan tengahari, kedengaran azan dari Masjid India yang terletak berhampiran sahaja dengan kedai makan tersebut. Humaira bersuara:
“Kita solat dahulu ya, lepas solat Zuhur baru balik.”
“Okey,” jawab Bukhari pendek.
Mereka berdua berjalan ke masjid, gaya seperti pasangan yang sudah berkahwin. Sambil berbual-bual dan kadangkala bergurau senda. Tidak seperti baru berjumpa tadi, yang mana masing-masing malu untuk berkata walau sepatahpun.
Usai solat Zuhur, Humaira keluar dari masjid dan melihat Bukhari sudah sedia menunggunya.
“Kita pergi ke KLCC nak. Ada PC Fair hari ni, ana ingat nak beli barang komputer ana,” terang Bukhari.
“Hmm, okey, tapi jangan lama sangat. Ana ada assignment hendak disiapkan.”
“Ok.”
Mereka singgah di sebuah kedai cenderamata, Bukhari menunjukkan sebuah rantai kunci yang berbentuk ‘love’, yang sangat comel dan unik ukirannya. Di atasnya tertulis perkataan ‘Love You Forever’.
“Lawa tak key chain ini, kalau anti mahu ambillah, ana bayarkan.”
“Betulke anta nak belikan ana ni.”
“Betullah, takkan ana tipu. Ambillah, bukan mahalpun.”
“Thanks Bukhari,” jawab Humaira.
Mereka berjalan menuju ke stesen LRT Masjid Jamek untuk pergi ke KLCC. Ketika melintas jalan, Humaira terasa sesuatu menyentuh tangannya. Dia melihat tangan Bukhari sedang memegang tangannya ketika melintas jalan. Humaira terkejut. Dia cuba menarik tangannya. Melihatkan yang Humaira kurang selesa, Bukhari terus melepaskan tangan Humaira. Dia membisikkan kepada Humaira:
“Asif, ana tak sengaja tadi,” bisik Bukhari kepada Humaira. Humaira hanya mendiamkan diri. Mereka terus masuk ke dalam LRT selepas membeli tiket. Di dalam tren LRT mereka duduk sebelah menyebelah kerana tiada lagi tempat duduk yang kosong. Bukhari sekali lagi cuba menyentuh tangan Humaira. Beberapa kali Humaira asyik menarik tangannya, akhirnya dia membiarkan sahaja. Inilah kali pertama tubuhnya disentuh oleh lelaki bukan mahram. Tanpa rasa takut mahupun segan, cinta yang dilandasi nafsu telah melenyapkan segala perasaan malu yang selama ini dijaga.
Tanpa mereka sedari, perlakuan mereka dilihat seseorang. Syakira, seorang rakan seusrah Humaira turut berada di situ. Dia hanya berdiri jauh dari Humaira dan Bukhari kerana tiada tempat kosong untuk diduduki. Dia terkejut, Syakira mengharapkan bahawa dia tersilap orang. Istighfar beberapa kali dilafazkan. Seakan tidak percaya, pasangan yang sedang bermesra di dalam tren tersebut ialah sahabat seusrah dan sering bersama-sama menghadiri kuliah. Apatah lagi Bukhari yang turut dikenali sebagai pelajar cemerlang di kuliah al-Quran dan as-Sunnah. Syakira terkedu. Dia terkejut dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan. Mungkin bagi penumpang-penumpang lain, mereka menyangka Humaira dan Bukhari ialah pasangan yang sudah bernikah. Masakan seorang gadis bertudung labuh dan pemuda berkopiah yang bukan mahram boleh bermesra di khalayak ramai. Mungkin inilah persepsi penumpan-penumpang tersebut.
Tren itu sampai ke stesen KLCC. Syakira yang memang secara kebetulan turut mahu ke PC Fair di KLCC terus melangkah keluar sambil melihat sahaja tingkah laku Humaira dan Bukhari. Diikutkan hati, mahu ditegur di situ sahaja, tetapi Syakira masih ragu-ragu. Akhirnya dia memilih untuk bertindak selemah-lemah iman, membenci dengan hati apa yang dilihat tanpa mengubah dengan tangan mahupun lisan.
Mereka bergerak ke lokasi PC Fair, manakala Syakirah menuju ke Masjid asy-Syakirin yang berdekatan kerana dia belum lagi menunaikan solat fardhu Zuhur. Usai solat Zuhur, Syakirah bergerak ke lokasi PC Fair di KLCC. Dia memilih perisian anti virus yang diperlukan dan sebuah pembesar suara. Di satu sudut yang berhampiran, Bukhari dan Humaira sedang melihat-lihat perisian anti virus. Humaira dan Bukhari serta Syakira tidak menyedari kehadiran antara satu sama lain. Hinggalah mereka semakin hampir di antara satu sama lain. Syakira terdengar satu suara yang amat dikenalinya.
“Anta nak beli anti virus yang mana satu?” satu suara hinggap di telinga Syakira.
Syakira melihat ke sebelah kanannya. Kelihatan Bukhari dan Humaira sedang khusyuk melihat-lihat perisian yang ada. Kedudukan mereka sangat rapat. Syakira terkedu. Apakah dia masih mahu memilih tindakan selemah-lemah iman atau dia perlu menegur mereka berdua agar perlakuan yang dilandasi nafsu itu terhenti. Syakira memikirkan bagaimanalah seandainya ada adik-adik usrah mereka ternampak naqibah-naqibah seperti mereka berkelakukan sedemikian. Naqibah-naqibah yang sentiasa tidak lekang dengan nasihat dari ayat al-Quran dan hadis yang sahih. Syakira bersuara, dia memilih untuk mencegah kemungkaran dengan lisan.
“Humaira…,” dia memanggil nama sahabatnya itu. Perlahan tetapi cukup untuk didengari oleh Humaira.
Humaira terkejut mendengar seseoran menyebut namanya. Bukhari jua. Suara yang amat dikenali Humaira. Dia memandang ke arah kirinya, terkejut, sahabat seusrahnya, Syakira, sedang memerhatikan perlakuan mereka berdua. Sunyi seketika. Humaira terdiam. Syakira tergamam, mulutnya terkunci membisu. Humaira memecah suasana. Melihatkan keadaan sedemikian, Bukhari merasa terperangkap, dia segera meminta izin untuk berlalu pergi, ke tandas katanya, meninggalkan Humaira dan Syakira berdua.
“Apa anti buat di sini?” soal Humaira.
“Hmm, ana sedang mencari-cari software anti virus, tak sangka pula berjumpa dengan anti.”
“Dah lama ke anti di sini?” soal Humaira lagi berdebar-debar.
“Tidak lah lama sangat, baru sahaja, sebab tadi ana solat di masjid asy-Syakirin.”
“Oooo,” jawab Humaira.
Syakira mahu bertanyakan tentang Bukhari, tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Tapi dia tahu, dia mesti menyatakan kebenaran kepada sahabatnya itu. Dia perlu menyedarkan sahabat seperjuangan yang mana mereka bersama-sama menjadi naqibah, mendidik adik-adik usrah.
“Anti dengan Bukhari….” Tidak sempat Syakira menamatkan ayatnya, Humaira segera memotong. Humaira sudah menjangka inilah soalan yang akan diajukan Syakira.
“Ooo, ana kebetulan bertembung dengan dia di sini ketika belek-belek anti virus. Anti tahulah ana bukan pandai sangat bab-bab komputer ni. Jadi ana minta dia tolong pilihkan anti virus yang baik untuk ana,” terang Humaira cuba menyembunyikan dosa yang baru dilakukan.
“Hmm..” Syakira mengeluh. Dia berbisik kepada dirinya. “Sanggup anti menipu ana.”
Telefon bimbit Humaira berbunyi, menandakan ada sms yang masuk menerjah inboxnya.
“Ana rasa elok ana balik sendirian, kalau tidak nanti Syakira tahu tentang kita. Bye sayang. Ukhwah Fillah. Assalamualaikum wbt.” Sms dari Bukhari kepada Humaira.
“Anti lama lagi ke di sini, ana dah nak balik sekarang, apa kata kita balik sama-sama,” Syakira mencadangkan walaupun dia masih belum puas melihat-lihat perisian yang sedia ada. Dia terus membayar harga perisian anti virus dan pembesar suara yang dibelinya. Nafsunya untuk melihat-lihat lagi barangan yang ada tertutup setelah melihat perlakukan Bukhari dan Humaira.
“Elok juga, ana pun dah lama di sini,” jawab Humaira.
Di dalam tren LRT Humaira lebih banyak bercakap berbanding Syakira. Dia tidak tahu bahawa Syakira telah menyaksika segala-galanya. Syakira pula asyik berfikir, bagaimanakah harus dia menegur sahabatnya. Singgah juga di mindanya, apakah silap dan salah tarbiah yang mereka terima selama ini hingga akhirnya Humaira terjerumus ke dalam perkara yang selama ini mereka tentang iaitu ‘Coupling’. Mereka sama-sama sejak zaman matrikulasi di Petaling Jaya, hinggalah di Gombak, tidak jemu-jemu menghadiri program-program tarbiah, usrah, kuliah, bahkan menjadi naqibah pula buat adik-adik yang lain. Humaira juga sering memberi pengisian kepada adik-adik di matrikulasi di PJ walaupun sudah berada di kampus utama Gombak. Tetapi, Humaira yang berada di hadapan Syakira hari ini bukanlah Humaira yang dahulu.
TAMAT
p/s: Manusia, manusia, manusia.. tidak lepas dari dosa. Perbezaan di antara setiap manusia itu hanyalah iman dan takwa. bukan luaran atau perkataan. Seandainya indah iman dan takwa itu, indahlah luaran dan perkataan. indahlah pakaian(dari sudut Islam), akhlak, dan budi bahasa.
Sama-samalah kita renungkan kisah humaira ini. Sesungguhnya kadang-kadang mereka yang kurang didikan agama itu lebih baik pada masa depannya berbanding mereka yang sempurna didikannya. Bertaubatlah kita sebelum terlambat! :)
Friday, May 28, 2010
kisah humaira siri 6 (sambungan)
Humaira tersedar dari lamunannya. Itulah kali terakhir dia bersama Emmy. Selepas segala-galanya terbongkar, Humaira memohon untuk berpindah ke bilik lain. Entah apa rezekinya, mudah sahaja permohonan menukar bilik dia diluluskan. Bukan setakat itu, dia berpindah dari mahallah Sumayyah ke mahallah Asiah.
Humaira kembali membaca buku accountingnya. Perasaan sedih tiba-tiba muncul pabila teringat kembali pertengkarannya bersama Emmy. Akan tetapi sebentar sahaja, Humaira tersenyum kembali apabila mengingatkan janji Bukhari untuk menelefonnya malam itu.
*****
Alice terdiam. Cerita yang Humaira ceritakan seolah-olah satu kejutan buatnya. Humaira, gadis yang dia kenali sejak sekolah. Sukar berinteraksi dengan lelaki hatta teman-teman sekelas. Alice teringat, Humaira pernah membaling beg seorang budak lelaki keluar dari kelas hanya kerana budak lelaki itu mengganggu Alice. Tapi cerita yang dia baru dengar kali ini, seolah-olah Humaira yang lain wataknya. Bukan Humaira yang Alice kenali. Alice bersuara:
“Lepas tu, apa yang jadi, Ira? Macam mana Ira dengan Emmy?”
Humaira terdiam. Matanya merah, dia seakan-akan mahu menangis.
“Entahlah Alice, aku tak tahu. Dah lama aku tak hubungi Emmy. Mesti dia kecewa dengan aku.”
“Hmm, takpelah Ira. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Eloklah dapat kawan macam dia.”
“Yup. Dia baik. Memang dia kurang didikan agama. Waktu Ira baru kenal dia, Ira rasa macam susah nak masuk dengan dia. Waktu 1st week sebilik dengan dia. Tak pernah sekalipun Ira tengok dia bangun solat Subuh. Ira start perlahan-lahan ajak dia solat. Alhamdulillah dia mula-mula macam malas, tapi lama-lama dia ikut juga.”
“Hmm.”
“Ira tak cuba hubungi dia ke, atau ajak dia kawan balik dengan Ira?”
“Hmm, Ira bukan tak nak. Ira malu, malu dengan dia. Dia berubah jadi baik. Dia harapkan Ira untuk jaga dia, ajar dia solat, ajar dia mengaji, tapi akhirnya Ira yang rosak. Ira malu nak jumpa dengan dia lagi.”
Alice terdiam. Humaira seakan-akan tidak dapat menahan lagi air matanya. Dia menangis. Alice cuba memujuknya, menenangkannya. Alice menggosok belakang Humaira. Humaira menangis teresak-esak. Perasaan bersalah muncul di dalam hati Alice. Kenapalah dia perlu mendesak Humaira menceritakan kesemuanya? Kenapalah perlu dia merosakkan malam itu dengan tangisan Humaira. Kenapa? Kenapa? Cuma hati Alice masih bertanya-tanya. Apakah yang Bukhari lakukan sehingga Humaira begitu benci padanya. Niatnya untuk mengetahui hal itu padam apabila melihat tangisan Humaira yang tidak henti-henti.
Malam itu, Humaira terus menangis dan menangis. Entah kenapa perasaan sedih yan teramat sangat. Alice terus memeluknya, memujuk dan memujuk. Akhirnya Humaira tenggelam dengan tangisannya di dalam dakapan sahabatnya Alice. Malam itu menjadi saksi kepada tangisan kesedihan, penyesalan, tangisan memohon taubat dari Tuhan. Alice membiarkan sahaja Humaira di dalam dakapannya. Akhirnye mereka terlena. Malam menjadi sunyi.
الصلاة خير من النوم
Kedengaran sayup-sayup suara Muazin melaungkan azan Subuh. Alice terjaga daripada tidurnya. Dia melihat sekeliling. Hairan, “Ini bukan rumah aku”, bisiknya di dalam hati. Akhirnya dia tersenyum sendirian, baru dia teringat bahawa dia sedang berada di rumah sahabatnya Humaira. Alice mencari-cari Humaira. Dia terpandang Humaira sedang tekun membaca al-Quran. Humaira menoleh ke arah Alice.
“Awal Alice bangun,” Humaira bersuara.
“Terbangun dengar suara azan tadi. Ira buat apa tu?” Alice menyoal walaupun dia tahu Ira sedang membaca al-Quran.
“Baca al-Quran. Kalau Alice mengantuk, tidurlah dulu. Ira nak solat Subuh dengan ibu.”
“Okey,” jawab Alice ringkas sambil menarik selimutnya hingga ke kepala dan menutupi seluruh tubuhnya.
Usai solat Subuh berjemaah bersama ibunya. Humaira masih tetap duduk di atas sejadah. Mulutnya kumat kamit melafazkan Istighfar, memohon keampunan daripada Allah. Kadangkala dia seakan menangis apabila teringatkan kesilapan yang pernah dia lakukan. Sejarah hitam yang hampir meragut maruahnya. Humaira mengambil sebiji buku kecil berwarna merah jambu bertajuk ‘Perisai Muslim’. Ia merupakan buku yang mengumpulkan zikir-zikir dan doa-doa yang diambil daripada hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Judul asal buku itu ialah Hisnul Muslim, susunan seorang ulama’ bernama Shaikh Said bin Wahf al-Qahthani. Humaira menyelak helaian buku kecil tersebut, dia mencari zikir-zikir di waktu pagi yang masih belum dihafalnya. Kedengaran suara makcik Limah memanggil Humaira.
“Ira, Nampak tak buku zikir ibu yang warna pink tu?”
“Ni, ada dekat rak buku ni ibu,” jawab Humaira sambil tersenyum. Dia teringat buku merah jambu tersebut adalah buku merah jambu yang sama yang sedang dia gunakan. Baru sebulan yang lalu dia membeli buku zikir tersebut. Itupun selepas diperkenalkan oleh seorang sahabatnya di UIA. Dia membelikan sebiji lagi buku itu untuk ibunya, makcik Limah. Gembira tidak kepalang makcik Limah ketika Humaira menunjukkan buku tersebut kepada beliau. Banyak sungguh zikir-zikir dan doa-doa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam amalkan tetapi tidak diketahui masyarakat.
“Alhamdulillah, ibu ingat dah hilang buku zikir ibu ni. Kalau hilang susahlah, ibu bukan hafal zikir-zikir dan doa yang ada dalam buku ni.”
“Alah, kalau hilang, nanti Ira belikan yang baru untuk ibu. Di UIA ada banyak.”
“Eh, zikir pagi di muka surat mana ye Ira? Ibu lupalah.”
“Ni, muka surat 119,” Ira berkata sambil menunjukkan muka surat itu kepada ibunya.
Perbualan mereka terhenti. Kedua beranak itu menumpukan perhatian kepada doa dan zikir yang mereka baca.
Sayup-sayup Humaira dan makcik Limah membaca apa yang ada di dalam buku itu. Tiada kedengaran suara mereka. Perlahan.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
“Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”
Diikuti dengan bacaan ayat Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Nas sebanyak tiga kali. Diteruskan dengan pujian kepada Allah seraya memohon kesejahteraan untuk hari itu dan memohon perlindungan daripada kecelakaan yang mungkin berlaku dengan izinNya.
- أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ.
“Kami hayati waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Mahakuasa atas segala se-suatu. Ya Tuhan, aku mohon kepada-Mu kebaikan di hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung denganMu dari kemalasan dan kejelekan di hari tua. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari seksaan neraka dan kubur.”
Selepas dua puluh minit memuji dan memohon kepada Allah. Humaira menutup buku Hisnul Muslim. Dia bergerak ke arah Alice yang sedang nyenyak tidur. Humaira menarik selimut Alice. Dia tersenyum sendirian. Dia mengusik jari kaki Alice dan menggerak-gerakkannya untuk mengejutkan supaya bagung dari tidur. Entah siapa yang mengajarkan teknik tersebut tidak diketahuinya. Cuma setakat pengalaman Humaira, ia berkesan mengejutkan seseorang daripada tidur tanpa membuatkan dia terperanjat.
Alice membuka matanya.
“Isy, dah pukul berapa ni. Alice mengantuk lagi lah,” sungut Alice. Kesan keletihan kerana perjalanan jauh semalam masih terasa.
“Dah pagi Amoi oi. Jom bangun, kita sarapan. Alice kena tolong Ira buat breakfast pagi ni.”
“Alice mengantuklah, Ira buatlah sorang-sorang. Nanti dah siap, Ira kejutkan Alice ye,” jawab Alice sambil menarik selimutnya kembali.
“Iii mengada betul amoi ni, bangun-bangun.”
“Yelah, yelah. Kacau betullah Ira ni,” sungut Alice.
“Hah, macam tu lah. Ini nak tidur sahaja, bangun pagi-pagi ni elok. Murah rezeki. Burung pun keluar pagi untuk cari makanan, betul tak cik Alice?” gurau Humaira.
“Yelah, yelah, Ira nak perli Alice lah tu,” jawab Alice sambil ketawa. Mereka berdua teringat kisah di zaman persekolahan mereka. Ketika itu mereka di tingkatan satu. Alice telah menulis satu karangan Bahasa Melayu yang menceritakan tentang kerajinan. Karangan Alice telah mendapat markah yang tertinggi hingga di isi di dalam majalah sekolah mereka. Di dalam karangan tersebut, Alice telah membuat perbandingan antara manusia yang malas dengan burung-burung yang keluar pagi untuk mencari rezeki. Entah bagaimana contoh yang menarik tentang burung itu telah menyebabkan karangannya terpilih di dalam majalah sekolah mereka.
Mereka berdua bergerak ke dapur. Kelihatan makcik Limah sedang menyediakan sarapan untuk mereka berdua.
“La, ibu, kenapa ibu buatkan sarapan, kan Ira dah cakap biar kami sahaja yang sediakan sarapan,” kata Humaira seraya melihat sarapan sudah disediakan.
“Yalah tu, nak tunggu kamu berdua siap, laparlah perut ibu. Dah lah tu, ajak si Alice tu sekali minum. Nanti sejuk pula air dengan bihun goreng ni.”
Alice dan Humaira segera duduk di meja makan. Humaira membaca Basmallah secara perlahan sebelum mula mengambil makanan yang sudah terhidang. Terasa seperti ingin tercekik, Humaira lantas mencapai air yang sudah terhidang tanpa menyedari gelojohnya itu diperhatikan oleh makcik Limah.
“Hah, elok sangatlah tu minum dengan tangan kiri. Nak jadi kawan syaitan,” tegur makcik Limah tatkala melihat Humaira mengambil minuman dengan tangan kiri.
Humaira tersengih, Alice di sebelah seperti kurang faham.
“Ira tak sengajalah ibu, nak cepat sangat, tadi rasa macam nak tercekik. Maaf ya ibu.”
Alice segera cuba merungkai persoalan kepada apa yang dia baru sahaja dengar.
“Kenapa makcik kata Ira nak jadi kawan syaitan?” soal Alice.
“Ooo, sebab minum dengan tangan kiri ni amalan syaitan. Sebab tu makcik tegur Ira tu. Dia tu kalau dah lapar lupa semua.”
“Hmm, Alice tak faham lah Ira. Macam mana ibu Ira boleh tahu kalau kita minum dengan tangan kiri, kita jadi kawan syaitan.”
“Ooo, Alice ingat makcik pernah jumpa syaitan ke,” jawab makcik Limah berseloroh.
“Hehe, kelakarlah ibu ni. Kasihan Alice tu kena gelak.”
Alice turut ketawa. Dia mencari pinggang Humaira untuk dicubitnya. Geram kerana ditertawakan oleh Humaira dan makcik Limah.
“Aduih, sakitlah Alice. Okey, okey. Sorry okey amoi.”
“Hah, tu lah Alice tanya, Ira gelak pulak.”
“Alah Alice janganlah marah. Gurau-gurau sahaja. Okey biar Ira terangkan. Sebenarnya dalam Islam, dalam segala hal telah diajar. Dari bab-bab berkaitan kepercayaan atau belief, sampailah kepada bab-bab kecil seperti adab dalam makan dan minum. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam pernah sebut lebih kurang begini, Ira pun tidak berapa ingat susunan ayatnya, “Jangan engkau makan dengan tangan kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.”
Makcik Limah berselawat dengan perlahan tatkala mendengar Humaira menyebut nama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Dia teringat bahawa Humaira pernah menyatakan kepada beliau bahawa hanya orang yang kedekut sahaja tidak akan berselawat apabila mendengar nama Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam.
“Oo sampai macam tu sekali ya Islam ajar,” Alice bersuara.
“Banyak lagi sebenarnya adab-adab ketika makan,” sambut Humaira.
“Tapi kan Ira, ramai kawan-kawan Alice yang Islam, selalu sahaja minum dengan tangan kiri. Bukan seorang dua, tapi hampir kesemua kawan-kawan Alice macam tu. Tak pernah pula ada yang tegur.”
“Hmm…,” Humairah mengeluh.
“Bukan semua orang Islam amalkan cara hidup Islam Alice. Cuba Alice tengok dalam surat khabar. Rompak, rasuah, perkosa anak gadis, itu semua dilarang Islam tapi masih ada orang Islam yang buat. Inikan pula hal-hal yang dianggap kecil seperti adab makan ni.”
Alice mendiamkan diri sahaja mendengar penjelasan Humaira. Baru dua hari dia bersama Humaira, sudah banyak pengetahuan tentang Islam yang dia perolehi. Alice merasa hairan, ramai rakan sekuliah beliau di dalam subjek perbandingan agama atau comparative religion di universitinya orang Islam. Tetapi tidak pernah mereka menerangkan tentang Islam kepadanya. Jika dia bertanya mereka tentang Islam, mereka akan cuba mengelak dari menjawab. Tidak tahulah sama ada mereka memang tidak tahu atau sebenarnya malu untuk menerangkan tentang ajaran Islam kerana cara hidup yang adakalanya terpesong dari ajaran Islam.
“Hmm. Ira, Bukhari masih ada hubungi Ira?” tiba-tiba makcik Limah memecah kesunyian.
“Ada bu, banyak kali. Tapi Ira tak jawab pun. Malas,” jawab Humaira ringkas.
“Eloklah kalau begitu. Ibu tak mahu Humaira layan dia lagi. Sudah-sudahlah apa yang sudah berlaku.”
“Insya-allah bu,” jawab Humaira.
Persoalan tentang hubungan Humaira dan Bukhari kembali menerjah masuk ke dalam kotak fikiran Alice.
“Hah, pagi ini, apa rancangan kita Alice. Apa aktiviti kita?” soal Humaira.
“Entah, Alice pun tidak tahu mahu buat apa. Ira ada apa-apa idea?”
“Hmm. Kita jalan-jalan di pekan Tampin nak. Ira pun ada barang yang mahu dibeli.”
“Ok jugak. Pukul berapa kita nak pergi?”
“Dalam pukul sepuluh pagi nanti. Awal-awal sangat pun, kedai tak buka lagi.”
Humaira dan Alice segera mengemas meja makan. Sambil mencuci pinggan mangkuk di sinki. Mereka berdua berbual-bual dan bercerita tentang kisah mereka di zaman sekolah dahulu.
“Alie ingat tak Zaid?”
“Zaid mana ya?” soal Alice.
“Alah, Zaid ketua pengawas sekolah kita dahulu.”
“Ooo, ingat, ingat. Mamat tu pernah try nak tackle Alice, hahaha,” kata Alice sambil tergelak.
“Haah, entah apa lah mamat tu, amoi sepet macam Alice ni juga yang diminatnya.”
“Iii Ira ni. Tapi Alice tak layan. Gatal. Ira ingat tak ada satu hari tu, waktu Alice sampai di kelas, Alice jumpa satu surat dalam laci meja Alice.”
“Haah, lepas tu Alice pergi baca surat tu di hadapan kelas. Habis semua kawan-kawan kita dalam kelas tahu yang Zaid minat kat Alice. Kasihan mamat tu, sudahlah syok sendiri, kantoi pula tu.”
“Tu lah, siapa suruh tackle Alice. Sejak hari tu, dia tak tegur-tegur Alice lagi,” kata Alice.
“Memanglah, malulah dia. Satu kelas dah tahu yang dia suka kat Alice. Jahat betul Alice ni, kasihan dia.”
“Haha. Padan muka. Eh Ira, ada jumpa tidak kawan-kawan lama kita sejak sekolah dahulu. Dah lama Alice tak jumpa mereka. Kita buat reunion nak.”
“Hmm. Menarik juga idea Alice. Boleh kita kumpul kawan-kawan kita. Tapi sempat ke? Alice pun ada dua tiga hari sahaja lagi di sini.”
“Alah, sempat sahaja. Ira ada simpan kan nombor telefon kawan-kawan kita. Kalau dapat lusa pun okey. Paling kurang, kalau tak dapat jumpa semua, dapat jumpa sebahagian kawan-kawan pun okey.
“Okey, nanti Ira call kawan-kawan kita. Eh okeylah, Ira nak naik atas kejap, nak solat. Alice duduk-duduklah dulu. Baca buku ke, jangan tidur sudahlah. Asyik tidur sahaja. Nanti gemuk.”
“Solat, Ira solat apa? Bukan orang Islam solat lima kali sahaja ke? Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’. Ni solat apa pula ni?”
“Solat Dhuha lah. Bukan solat wajib, solat sunat sahaja.”
“Oo. Okey Alice pun nak baca buku-buku yang ada di bilik Ira tu.”
Humaira terus bergerak ke bilik air untuk mengambil wudhu. Itulah rutin harian beliau semenjak menjejakkan kaki di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Perkenalan dengan sahabat-sahabat yang mengajaknya menyertai usrah mereka, banyak mengubah gaya kehidupannya, dari biasa-biasa sahaja di dalam kehidupan beragama akhirnya berubah menjadi muslimah yang komited, yang berusaha mengamalkan segala macam bentuk sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Akhirnya, itulah yang membawa Humaira berubah hingga memakai niqab. Satu keputusan yang amat mengejutkan rakan-rakannya. Ada yang bersetuju, ada yang tidak tatkala beliau melahirkan hasrat untuk memakai niqab ataupun purdah.
Berbagai-bagai alasan diberikan oeh rakan-rakan Humaira. Ada yang menyatakan bahawa berniqab ini hanya satu praktis golongan ekstrimis kerana wajah bukanlah aurat, maka menutup wajah adalah satu sikap melampau di dalam beragama. Ada pula yang kurang bersetuju kerana ia mungkin akan menjarakkan lagi hubungan dengan sahabat-sahabat lain sekaligus menyukarkan kerja-kerja dakwah. Humaira mendengar hujah-hujah yang disampaikan oleh sahabat-sahabatnya. Sebenarnya, yang mendorong Humaira untuk berniqab ialah apabila dia membaca perbahasan para ulama’ tentang hukum menutup wajah bagi wanita di sebuah laman sesawang untuk muslimah. Itulah kali pertama beliau mengetahui bahawa ada ulama yang mewajibkan secara mutlaq bagi wanita untuk menutup wajah daripada pandangan lelaki yang bukan mahram.
Di situlah bermulanya. Humaira membaca dan terus membaca. Dia membaca hujah-hujah yang dikemukakan para ulama’ yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan. Akhirnya, Humaira meyakini pandangan ulama’-ulama’ yang menyatakan wajah bukan aurat, akan tetapi digalakkan untuk menutupnya bahkan sunnah kerana terdapat dalil-dalil menunjukkan ia adalah pakaian isteri-isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Lebih menarik, apabila Humaira membaca sebuah buku susunan seorang ulama’ hadis terkenal, Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, yang bertajuk ‘Jilbab Wanita Muslimah’. Ulama tersebut berpegang bahawa wajah bukan aurat berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran, hadis dan penafsiran para sahabat, akan tetapi isteri ulama’ tersebut tetap berniqab.