Sunday, May 30, 2010

kisah humaira siri 7 (akhir)

Ketika Humaira sedang khusyu’ mendirikan solat sunat Dhuha, Alice pula sedang leka membaca buku-buku yang ada di ruang solat tersebut. Usai menunaikan solat, Humaira terus memanggil Alice.


“Alice, datang sini kejap, Ira nak cerita sesuatu.”


“Hah, cerita apa?” jawab Alice sambil bergerak ke arah Humaira lalu duduk di sini sahabatnya itu.


“Ira nak sambung kisah malam tadi, cerita tentang Ira dan Bukhari.”


“Hmm, tapi Alice takut Ira sedih macam malam tadi.”


“Insya-allah, tidak.”


“Okeylah kalau macam tu, lagipun awal lagi ni kalau kita mahu ke pekan,” jawab Alice.


Humaira terus mula bercerita.


***



Hubungan Humaira dengan Emmy terputus terus. Tetapi itu tidak mengubah apa-apa. Humaira masih sentiasa berhubung dengan Bukhari. Kadangkala mereka berbual-bual melalui telefon sehingga satu dua jam. Cuma mereka masih belum lagi pernah keluar berdua-duaan. Mereka hanya bertemu di kuliah-kuliah feqh, hadith dan aktiviti-aktiviti dakwah. Setakat itu sahaja. Tiada seorang pun di kalangan sahabat-sahabat mereka yang dapat menghidu perhubungan mereka berdua. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak akan membiarkan perhubungan yang berlandaskan nafsu itu berterusan.


Entah kenapa, mungkin kerana sudah terlalu lama asyik berhubung melalui telefon, terdetik di hati Bukhari untuk mengajak Humaira keluar. Humaira menolak, sudah banyak kali permintaan Bukhari untuk keluar bersama ditolak oleh Humaira. Berbagai-bagai alasan diberikan oleh Humaira, takut dilihat oleh rakan-rakan yang lain. Entah bagaimana mudahnya syaitan memerangkap. Tidak terkeluar langsung alasan yang menyatakan bahawa perbuatan mereka itu bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah yang mereka pelajari di dalam kuliah-kuliah yang mereka hadiri.


Hinggalah satu hari, Bukhari sekali lagi mengajak Humaira untuk keluar bersamanya ke Wisma Yakin di Masjid India. Katanya mahu beli kitab-kitab agama terjemahan Indonesia. Puas Humaira menolak, tetapi akhirnya dia tewas jua dengan pujuk rayu Bukhari. Tapi dia memberikan syarat:


“Nanti kita jumpa di masjid India sahaja. Nanti jika di stesen LRT Gombak, ramai student UIA, ana takut nanti ada kawan-kawan kita nampak ana dengan anta,” Humaira menghantar sms kepada Bukhari.


“Ok, Insya-allah, thank you sayang, see you there,” jawab sms Bukhari kepada sms yang dihantar Humaira.


Humaira bersiap. Memilih jubah yang amat jarang dipakainya, dengan tudung labuh berwarna merah jambu yang sedondon dengan warna jubahnya. Minyak wangi turut dipakai, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Humaira apabila mahu keluar.


Tiba di stesen LRT Masjid Jamek, Bukhari sudah kelihatan menunggu. Dia hanya tersenyum melihat Humaira. Mereka berdua berjalan beriringan. Tiada sepatah kata pun keluar. Mungkin masing-masing masih malu kerana inilah kali pertama mereka keluar berdua. Mereka terus ke Fajar Ilmu di tingkat tiga Wisma Yakin. Memilih beberapa buah buku yang akan digunakan di dalam kuliah dan usrah mereka.


Ketika membayar di kaunter, pekerja kedia tersebut hanya tersenyum sahaja melihat mereka berdua, dia berkata:


“Bagus adik berdua, muda-muda dah kahwin,” kata pekerja kedai tersebut kerana menyangka Bukhari dan Humaira adalah pasangan muda yang sudah berkahwin. Siapa sangka gadis bertudung labuh dan pemuda yang kelihatan wara’ dengan kopiah dan janggutnya sebenarnya bukanlah pasangan yang sah.


Tatkala mendengar kata-kata pekerja kedai tersebut, berubah wajah Bukhari dan Humaira. Terus mereka keluar dari kedai tersebut selepas membayar harga kesemua buku yang telah dibeli. Bukhari mengajak Humaira untuk singgah di sebuah kedai makan. Mungkin kerana lapar, lagipun memang ketika itu sudah menjangkau jam dua belas setengah tengahari.


Tatkala selesai menikmati makan tengahari, kedengaran azan dari Masjid India yang terletak berhampiran sahaja dengan kedai makan tersebut. Humaira bersuara:


“Kita solat dahulu ya, lepas solat Zuhur baru balik.”


“Okey,” jawab Bukhari pendek.


Mereka berdua berjalan ke masjid, gaya seperti pasangan yang sudah berkahwin. Sambil berbual-bual dan kadangkala bergurau senda. Tidak seperti baru berjumpa tadi, yang mana masing-masing malu untuk berkata walau sepatahpun.


Usai solat Zuhur, Humaira keluar dari masjid dan melihat Bukhari sudah sedia menunggunya.


“Kita pergi ke KLCC nak. Ada PC Fair hari ni, ana ingat nak beli barang komputer ana,” terang Bukhari.


“Hmm, okey, tapi jangan lama sangat. Ana ada assignment hendak disiapkan.”


“Ok.”


Mereka singgah di sebuah kedai cenderamata, Bukhari menunjukkan sebuah rantai kunci yang berbentuk ‘love’, yang sangat comel dan unik ukirannya. Di atasnya tertulis perkataan ‘Love You Forever’.


“Lawa tak key chain ini, kalau anti mahu ambillah, ana bayarkan.”


“Betulke anta nak belikan ana ni.”


“Betullah, takkan ana tipu. Ambillah, bukan mahalpun.”


“Thanks Bukhari,” jawab Humaira.


Mereka berjalan menuju ke stesen LRT Masjid Jamek untuk pergi ke KLCC. Ketika melintas jalan, Humaira terasa sesuatu menyentuh tangannya. Dia melihat tangan Bukhari sedang memegang tangannya ketika melintas jalan. Humaira terkejut. Dia cuba menarik tangannya. Melihatkan yang Humaira kurang selesa, Bukhari terus melepaskan tangan Humaira. Dia membisikkan kepada Humaira:


“Asif, ana tak sengaja tadi,” bisik Bukhari kepada Humaira. Humaira hanya mendiamkan diri. Mereka terus masuk ke dalam LRT selepas membeli tiket. Di dalam tren LRT mereka duduk sebelah menyebelah kerana tiada lagi tempat duduk yang kosong. Bukhari sekali lagi cuba menyentuh tangan Humaira. Beberapa kali Humaira asyik menarik tangannya, akhirnya dia membiarkan sahaja. Inilah kali pertama tubuhnya disentuh oleh lelaki bukan mahram. Tanpa rasa takut mahupun segan, cinta yang dilandasi nafsu telah melenyapkan segala perasaan malu yang selama ini dijaga.


Tanpa mereka sedari, perlakuan mereka dilihat seseorang. Syakira, seorang rakan seusrah Humaira turut berada di situ. Dia hanya berdiri jauh dari Humaira dan Bukhari kerana tiada tempat kosong untuk diduduki. Dia terkejut, Syakira mengharapkan bahawa dia tersilap orang. Istighfar beberapa kali dilafazkan. Seakan tidak percaya, pasangan yang sedang bermesra di dalam tren tersebut ialah sahabat seusrah dan sering bersama-sama menghadiri kuliah. Apatah lagi Bukhari yang turut dikenali sebagai pelajar cemerlang di kuliah al-Quran dan as-Sunnah. Syakira terkedu. Dia terkejut dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan. Mungkin bagi penumpang-penumpang lain, mereka menyangka Humaira dan Bukhari ialah pasangan yang sudah bernikah. Masakan seorang gadis bertudung labuh dan pemuda berkopiah yang bukan mahram boleh bermesra di khalayak ramai. Mungkin inilah persepsi penumpan-penumpang tersebut.


Tren itu sampai ke stesen KLCC. Syakira yang memang secara kebetulan turut mahu ke PC Fair di KLCC terus melangkah keluar sambil melihat sahaja tingkah laku Humaira dan Bukhari. Diikutkan hati, mahu ditegur di situ sahaja, tetapi Syakira masih ragu-ragu. Akhirnya dia memilih untuk bertindak selemah-lemah iman, membenci dengan hati apa yang dilihat tanpa mengubah dengan tangan mahupun lisan.


Mereka bergerak ke lokasi PC Fair, manakala Syakirah menuju ke Masjid asy-Syakirin yang berdekatan kerana dia belum lagi menunaikan solat fardhu Zuhur. Usai solat Zuhur, Syakirah bergerak ke lokasi PC Fair di KLCC. Dia memilih perisian anti virus yang diperlukan dan sebuah pembesar suara. Di satu sudut yang berhampiran, Bukhari dan Humaira sedang melihat-lihat perisian anti virus. Humaira dan Bukhari serta Syakira tidak menyedari kehadiran antara satu sama lain. Hinggalah mereka semakin hampir di antara satu sama lain. Syakira terdengar satu suara yang amat dikenalinya.


“Anta nak beli anti virus yang mana satu?” satu suara hinggap di telinga Syakira.


Syakira melihat ke sebelah kanannya. Kelihatan Bukhari dan Humaira sedang khusyuk melihat-lihat perisian yang ada. Kedudukan mereka sangat rapat. Syakira terkedu. Apakah dia masih mahu memilih tindakan selemah-lemah iman atau dia perlu menegur mereka berdua agar perlakuan yang dilandasi nafsu itu terhenti. Syakira memikirkan bagaimanalah seandainya ada adik-adik usrah mereka ternampak naqibah-naqibah seperti mereka berkelakukan sedemikian. Naqibah-naqibah yang sentiasa tidak lekang dengan nasihat dari ayat al-Quran dan hadis yang sahih. Syakira bersuara, dia memilih untuk mencegah kemungkaran dengan lisan.


“Humaira…,” dia memanggil nama sahabatnya itu. Perlahan tetapi cukup untuk didengari oleh Humaira.


Humaira terkejut mendengar seseoran menyebut namanya. Bukhari jua. Suara yang amat dikenali Humaira. Dia memandang ke arah kirinya, terkejut, sahabat seusrahnya, Syakira, sedang memerhatikan perlakuan mereka berdua. Sunyi seketika. Humaira terdiam. Syakira tergamam, mulutnya terkunci membisu. Humaira memecah suasana. Melihatkan keadaan sedemikian, Bukhari merasa terperangkap, dia segera meminta izin untuk berlalu pergi, ke tandas katanya, meninggalkan Humaira dan Syakira berdua.


“Apa anti buat di sini?” soal Humaira.


“Hmm, ana sedang mencari-cari software anti virus, tak sangka pula berjumpa dengan anti.”


“Dah lama ke anti di sini?” soal Humaira lagi berdebar-debar.


“Tidak lah lama sangat, baru sahaja, sebab tadi ana solat di masjid asy-Syakirin.”


“Oooo,” jawab Humaira.


Syakira mahu bertanyakan tentang Bukhari, tetapi dia tidak tahu bagaimana mahu memulakannya. Tapi dia tahu, dia mesti menyatakan kebenaran kepada sahabatnya itu. Dia perlu menyedarkan sahabat seperjuangan yang mana mereka bersama-sama menjadi naqibah, mendidik adik-adik usrah.


“Anti dengan Bukhari….” Tidak sempat Syakira menamatkan ayatnya, Humaira segera memotong. Humaira sudah menjangka inilah soalan yang akan diajukan Syakira.


“Ooo, ana kebetulan bertembung dengan dia di sini ketika belek-belek anti virus. Anti tahulah ana bukan pandai sangat bab-bab komputer ni. Jadi ana minta dia tolong pilihkan anti virus yang baik untuk ana,” terang Humaira cuba menyembunyikan dosa yang baru dilakukan.


“Hmm..” Syakira mengeluh. Dia berbisik kepada dirinya. “Sanggup anti menipu ana.”


Telefon bimbit Humaira berbunyi, menandakan ada sms yang masuk menerjah inboxnya.


“Ana rasa elok ana balik sendirian, kalau tidak nanti Syakira tahu tentang kita. Bye sayang. Ukhwah Fillah. Assalamualaikum wbt.” Sms dari Bukhari kepada Humaira.


“Anti lama lagi ke di sini, ana dah nak balik sekarang, apa kata kita balik sama-sama,” Syakira mencadangkan walaupun dia masih belum puas melihat-lihat perisian yang sedia ada. Dia terus membayar harga perisian anti virus dan pembesar suara yang dibelinya. Nafsunya untuk melihat-lihat lagi barangan yang ada tertutup setelah melihat perlakukan Bukhari dan Humaira.


“Elok juga, ana pun dah lama di sini,” jawab Humaira.


Di dalam tren LRT Humaira lebih banyak bercakap berbanding Syakira. Dia tidak tahu bahawa Syakira telah menyaksika segala-galanya. Syakira pula asyik berfikir, bagaimanakah harus dia menegur sahabatnya. Singgah juga di mindanya, apakah silap dan salah tarbiah yang mereka terima selama ini hingga akhirnya Humaira terjerumus ke dalam perkara yang selama ini mereka tentang iaitu ‘Coupling’. Mereka sama-sama sejak zaman matrikulasi di Petaling Jaya, hinggalah di Gombak, tidak jemu-jemu menghadiri program-program tarbiah, usrah, kuliah, bahkan menjadi naqibah pula buat adik-adik yang lain. Humaira juga sering memberi pengisian kepada adik-adik di matrikulasi di PJ walaupun sudah berada di kampus utama Gombak. Tetapi, Humaira yang berada di hadapan Syakira hari ini bukanlah Humaira yang dahulu.


TAMAT



p/s: Manusia, manusia, manusia.. tidak lepas dari dosa. Perbezaan di antara setiap manusia itu hanyalah iman dan takwa. bukan luaran atau perkataan. Seandainya indah iman dan takwa itu, indahlah luaran dan perkataan. indahlah pakaian(dari sudut Islam), akhlak, dan budi bahasa.

Sama-samalah kita renungkan kisah humaira ini. Sesungguhnya kadang-kadang mereka yang kurang didikan agama itu lebih baik pada masa depannya berbanding mereka yang sempurna didikannya. Bertaubatlah kita sebelum terlambat! :)


1 comments:

ambiz said...

cam x abes je citer.. haha. sambung pas exam.

Post a Comment