Monday, August 17, 2009

Bila Malu Dah Tiada..Maksiat Berleluasa.


Hakikat Sifat Malu

Sifat malu ada yang positif dan ada juga yang negatif. Malu yang positif akan menjauhkan seseorang dari perbuatan maksiat, salah dan keji. Malu yang positif akan juga menimbulkan rasa bersalah kepada seseorang apabila ia meninggalkan perintah dan suruhan Allah Ta’ala.
Malu yang negatif pula menghalang seseorang itu dari melakukan ketaatan, kebaikan dan kebajikan. Malu negatif ini juga kadang-kala menyebabkab seseorang itu terdorong untuk melakukan perbuatan maksiat, salah dan keji, umpamanya lantaran malu diangap sebagai kolot atau ketinggalan zaman maka ia sanggup mendedah aurat, minum arak, merokok dan seumpamanya.
Sebagai seorang yang beriman, kita seharusnya memiliki rasa malu yang positif, sehingga lahir nilai malu yang sebenar-benarnya di hadapan Allah Ta’ala apabila melakukan apa yang dilarang dan dibenci-Nya, atau ketika meninggalkan apa yang diperintahkan-Nya.
Perhatikanlah dialog Rasulullah S.A.W dengan para sahabat dalam sebuah majlis.
Baginda bersabda, ”Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” Para sahabat menjawab, ”Wahai Nabi Allah, kami memang malu kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya.” Nabi bersabda, ”Bukan begitu yang saya maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan kegemerlapan hiasan dunia.” (Riwayat Imam At-Tirmizi)
Rasulullah S.A.W selalu berusaha memahamkan para sahabatnya tentang hakikat malu kerana malu merupakan salah satu sifat mulia dan terpuji. Bahkan, ia merupakan teras keimanan. Sabdanya,
”Tidak ada iman bagi orang yang tidak punya malu.”
Untuk memupuk dan memelihara rasa malu yang positif, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian, umpanya;

[1] Menjaga kepala dan fikiran.
Maksudnya adalah menjaga seluruh deria atau pancaindra yang dikendalikan oleh kepala. Ia tidak mempergunakan pancaindra itu kecuali dalam perkara dan urusan yang diredhai Allah Ta’ala. Fikirannya tidak akan digunakan untuk mencetus idea-idea yang menjurus kepada maksiat. Matanya tidak akan digunakan untuk melihat aurat atau apa jua larangan Allah Ta’ala. Telingganya tidak akan digunakan untuk mendengar gosip, umpatan atau perkara-perkara yang sia-sia dan melalaikan seperti muzik dan nyanyian. Mulutnya tidak akan digunakan untuk berdusta, mengumpat, mencela, menfitnah, menyanyi dan seumpamanya.
[2] Menjaga perut dan isinya.
ertinya ia tidak memakan sesuatu kecuali yang halal kerana itulah yang diperintahkan Allah Ta’ala dalam firman-Nya :
‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu.” (Al-Baqarah : 172)
Makanan yang tidak halal yang masuk ke dalam perut akan mengakibatkan kerosakkan pada hati. Bahkan akan meningkatkan nafsu serakah untuk melakukan perbuatan hina dan keji.
[3] Mengingati mati dan kehancuran tubuh setelah mati serta membayangkan kematian selalu ada di depan mata.
Rasulullah S.A.W bersabda,
”Perbanyaklah mengingati si pemusnah kenikmatan, iaitu kematian.” (Riwayat Imam At-Tirmizi).
Mungkinkah seorang yang sentiasa mengingati mati melakukan larangan Allah Ta’ala?
Umpamanya seorang wanita yang meyedari hakikat bahawa lambat-laun ia pasti akan mati dan tubuh badan akan hancur bercampur tanah, pastinya tidak akan menyalah-gunakan kecantikan atau kejelitaan dirinya, kerana segala kecantikkan dan kejelitaan itu akan berakhir apabila maut datang kepadanya. Tambahan pula ia yakin bahawa jika ia tidak menutup auratnya, jika ia tidak menjaga batas pergaulannya, jika ia tidak menjauhi perbuatan maksiat, pastinya nanti apabila ia bersemadi berseorang di dalam liang lahad, berbagai azab seksaan yang amat berat sedang menantinya di sana. Ia sentiasa menyedari bahawa tubuh badannya yang lemah, kejelitaan yang sementara dan apa jua kelebihannya di dunia ini tidak akan berupaya mengurangkan atau menghilangkan kesakitan yang bakal ditanggung di alam Barzakh.
[4] Meninggalkan perhiasan dunia.
Ertinya, ia tidak terperdaya oleh janji-janji manis dunia, sehingga ia tidak disibukkan oleh hal-hal itu dari mengingati Allah Ta’ala dan akhirat yang merupakan tempat kembalinya.
Allah Ta’ala berfirman:
”Maka, janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu. Dan janganlah penipu (syaitan) memperdaya kamu terhadap Allah.” (Luqman: 33)
Bila Sifat Malu Tidak Berfungsi…
Biasa kita mendengar, lelaki diistilahkan sebagai kumbang dan wanita pula sebagai bunga. Kalau kumbang suka kepada bunga, lelaki tentulah suka kepada wanita. Sejak remaja lagi keinginan lelaki kepada wanita sudah berputik. Lalu wanita menjadi sasaran usikan lelaki, baik di sekolah, di jalan-jalan raya, di pasar raya, di perhentian bas dan bahkan boleh dikatakan di mana-mana ruang dan peluang. Selagi usikan itu tidak diberi perhatian oleh wanita itu mereka akan terus mencuba dan terus mencuba.
Apakah keistimewaan wanita sehingga begitu kuat menarik perhatian lelaki? Sememangnya wanita lain daripada lelaki, terdapat banyak kelainannya.
Wanita, apapun yang dilakukannya akan mendapat perhatian lelaki, kalau dia berbuat baik, dikagumi, apabila berbuat jahat diminati, apabila dia memakai pakaian menutup aurat dilihat menawan, apabila berpakaian tidak menutup aurat (seksi) dilihat menggoda, dan macam-macam lagi yang menarik perhatian.
Oleh sebab itu Allah Ta’ala mengurniakan kepada wanita sifat malu. Dengan sifat malu itu mereka akan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang tindakan. Kalau hendak buat jahat dia akan memikirkan kalau-kalau orang nampak, hendak dedahkan aurat dia takut orang mengganggunya, hendak berjalan seorang dia takut ada orang mengusiknya.
Begitulah peranan malu yang boleh membantu dalam tindak-tanduk seorang wanita. Tapi apa halnya kalau tidak tahu malu ? Tentulah mereka tidak akan memikirkan semua itu. Pedulikan apa orang kata, pedulikan kalau orang tengok, tak kisah kalau orang mengganggu dan mengusik, bahkan mereka rasa senang, seronok dan bahagia bila dalam keadaan begitu.
Dalam sebuah hadith riwayat Imam Al-Bukhari, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Jika kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu.”
Hadith ini merupakan sindiran dalam tegahan. Sifat malu itu adalah pokok akhlak yang mulia dan budi pekerti yang terpuji. Tidak payah diletakkan sifat malu ini di atas neraca agama, kerana akal yang waras turut mengakui bahawa malu sebagai suatu sifat yang perlu ada pada diri manusia.
Barangkali wanita hari ini kebanyakkannya tidak malu atau kurang malu sebab itu mereka sanggup melakukan apa saja dosa dan maksiat.
Atau barangkali jika sifat malu yang dikurniakan Allah Ta’ala itu sudah tidak berfungsi sepenuhnya. Kalau demikian, bererti tiada iman di dada mereka.
Jelasnya, mereka tidak takut kepada Allah Ta’ala, tidak gerun kepada neraka-Nya dan tidak cinta kepada syurga-Nya. Mereka langsung tidak takut dengan hukuman yang bakal Allah Ta’ala timpakan ke atas mereka. Ini tandanya mereka tiada iman.
Apabila tidak beriman, maka sifat malu yang sedia ada itu secara automatik akan hilang. Inilah realiti yang tidak boleh dinafikan, buktinya boleh dilihat di mana-mana. Melalui media cetak saperti majalah Hai, Mangga, URTV dan sebagainya, media elektronik seperti rancangan-rancangan hiburan dan bahkan di hadapan mata kita sendiri berbagai ragam dan kemungkaran berlaku, tidak berkecuali dilakukan oleh wanita.
Sayang, wanita yang sepatutnya lebih istimewa daripada lelaki menjadi serendah-rendahnya hanya disebabkan sifat malunya tidak berfungsi sepenuhnya.
Tapi percayalah, kalau semua wanita boleh mengekalkan sifat malunya tentulah mereka akan berpakaian sopan, berakhlak mulia dan ketika itu mereka akan disegani oleh semua pihak. Dengan ini akan terhindarlah gejala buruk yang menimpa kaum wanita. Bahkan terselamatlah kaum lelaki dari berbagai gejala dan maksiat serta larangan.
Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment