Friday, May 28, 2010

kisah humaira siri 6 (sambungan)

Humaira tersedar dari lamunannya. Itulah kali terakhir dia bersama Emmy. Selepas segala-galanya terbongkar, Humaira memohon untuk berpindah ke bilik lain. Entah apa rezekinya, mudah sahaja permohonan menukar bilik dia diluluskan. Bukan setakat itu, dia berpindah dari mahallah Sumayyah ke mahallah Asiah.


Humaira kembali membaca buku accountingnya. Perasaan sedih tiba-tiba muncul pabila teringat kembali pertengkarannya bersama Emmy. Akan tetapi sebentar sahaja, Humaira tersenyum kembali apabila mengingatkan janji Bukhari untuk menelefonnya malam itu.


*****


Alice terdiam. Cerita yang Humaira ceritakan seolah-olah satu kejutan buatnya. Humaira, gadis yang dia kenali sejak sekolah. Sukar berinteraksi dengan lelaki hatta teman-teman sekelas. Alice teringat, Humaira pernah membaling beg seorang budak lelaki keluar dari kelas hanya kerana budak lelaki itu mengganggu Alice. Tapi cerita yang dia baru dengar kali ini, seolah-olah Humaira yang lain wataknya. Bukan Humaira yang Alice kenali. Alice bersuara:


“Lepas tu, apa yang jadi, Ira? Macam mana Ira dengan Emmy?”


Humaira terdiam. Matanya merah, dia seakan-akan mahu menangis.


“Entahlah Alice, aku tak tahu. Dah lama aku tak hubungi Emmy. Mesti dia kecewa dengan aku.”


“Hmm, takpelah Ira. Benda dah jadi. Nak buat macam mana. Eloklah dapat kawan macam dia.”


“Yup. Dia baik. Memang dia kurang didikan agama. Waktu Ira baru kenal dia, Ira rasa macam susah nak masuk dengan dia. Waktu 1st week sebilik dengan dia. Tak pernah sekalipun Ira tengok dia bangun solat Subuh. Ira start perlahan-lahan ajak dia solat. Alhamdulillah dia mula-mula macam malas, tapi lama-lama dia ikut juga.”


“Hmm.”


“Ira tak cuba hubungi dia ke, atau ajak dia kawan balik dengan Ira?”


“Hmm, Ira bukan tak nak. Ira malu, malu dengan dia. Dia berubah jadi baik. Dia harapkan Ira untuk jaga dia, ajar dia solat, ajar dia mengaji, tapi akhirnya Ira yang rosak. Ira malu nak jumpa dengan dia lagi.”


Alice terdiam. Humaira seakan-akan tidak dapat menahan lagi air matanya. Dia menangis. Alice cuba memujuknya, menenangkannya. Alice menggosok belakang Humaira. Humaira menangis teresak-esak. Perasaan bersalah muncul di dalam hati Alice. Kenapalah dia perlu mendesak Humaira menceritakan kesemuanya? Kenapalah perlu dia merosakkan malam itu dengan tangisan Humaira. Kenapa? Kenapa? Cuma hati Alice masih bertanya-tanya. Apakah yang Bukhari lakukan sehingga Humaira begitu benci padanya. Niatnya untuk mengetahui hal itu padam apabila melihat tangisan Humaira yang tidak henti-henti.


Malam itu, Humaira terus menangis dan menangis. Entah kenapa perasaan sedih yan teramat sangat. Alice terus memeluknya, memujuk dan memujuk. Akhirnya Humaira tenggelam dengan tangisannya di dalam dakapan sahabatnya Alice. Malam itu menjadi saksi kepada tangisan kesedihan, penyesalan, tangisan memohon taubat dari Tuhan. Alice membiarkan sahaja Humaira di dalam dakapannya. Akhirnye mereka terlena. Malam menjadi sunyi.


الصلاة خير من النوم



Kedengaran sayup-sayup suara Muazin melaungkan azan Subuh. Alice terjaga daripada tidurnya. Dia melihat sekeliling. Hairan, “Ini bukan rumah aku”, bisiknya di dalam hati. Akhirnya dia tersenyum sendirian, baru dia teringat bahawa dia sedang berada di rumah sahabatnya Humaira. Alice mencari-cari Humaira. Dia terpandang Humaira sedang tekun membaca al-Quran. Humaira menoleh ke arah Alice.


“Awal Alice bangun,” Humaira bersuara.


“Terbangun dengar suara azan tadi. Ira buat apa tu?” Alice menyoal walaupun dia tahu Ira sedang membaca al-Quran.


“Baca al-Quran. Kalau Alice mengantuk, tidurlah dulu. Ira nak solat Subuh dengan ibu.”


“Okey,” jawab Alice ringkas sambil menarik selimutnya hingga ke kepala dan menutupi seluruh tubuhnya.


Usai solat Subuh berjemaah bersama ibunya. Humaira masih tetap duduk di atas sejadah. Mulutnya kumat kamit melafazkan Istighfar, memohon keampunan daripada Allah. Kadangkala dia seakan menangis apabila teringatkan kesilapan yang pernah dia lakukan. Sejarah hitam yang hampir meragut maruahnya. Humaira mengambil sebiji buku kecil berwarna merah jambu bertajuk ‘Perisai Muslim’. Ia merupakan buku yang mengumpulkan zikir-zikir dan doa-doa yang diambil daripada hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam. Judul asal buku itu ialah Hisnul Muslim, susunan seorang ulama’ bernama Shaikh Said bin Wahf al-Qahthani. Humaira menyelak helaian buku kecil tersebut, dia mencari zikir-zikir di waktu pagi yang masih belum dihafalnya. Kedengaran suara makcik Limah memanggil Humaira.


“Ira, Nampak tak buku zikir ibu yang warna pink tu?”


“Ni, ada dekat rak buku ni ibu,” jawab Humaira sambil tersenyum. Dia teringat buku merah jambu tersebut adalah buku merah jambu yang sama yang sedang dia gunakan. Baru sebulan yang lalu dia membeli buku zikir tersebut. Itupun selepas diperkenalkan oleh seorang sahabatnya di UIA. Dia membelikan sebiji lagi buku itu untuk ibunya, makcik Limah. Gembira tidak kepalang makcik Limah ketika Humaira menunjukkan buku tersebut kepada beliau. Banyak sungguh zikir-zikir dan doa-doa yang Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam amalkan tetapi tidak diketahui masyarakat.


“Alhamdulillah, ibu ingat dah hilang buku zikir ibu ni. Kalau hilang susahlah, ibu bukan hafal zikir-zikir dan doa yang ada dalam buku ni.”


“Alah, kalau hilang, nanti Ira belikan yang baru untuk ibu. Di UIA ada banyak.”


“Eh, zikir pagi di muka surat mana ye Ira? Ibu lupalah.”


“Ni, muka surat 119,” Ira berkata sambil menunjukkan muka surat itu kepada ibunya.


Perbualan mereka terhenti. Kedua beranak itu menumpukan perhatian kepada doa dan zikir yang mereka baca.


Sayup-sayup Humaira dan makcik Limah membaca apa yang ada di dalam buku itu. Tiada kedengaran suara mereka. Perlahan.


أعوذ بالله من الشيطان الرجيم


“Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.”


Diikuti dengan bacaan ayat Kursi, surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan an-Nas sebanyak tiga kali. Diteruskan dengan pujian kepada Allah seraya memohon kesejahteraan untuk hari itu dan memohon perlindungan daripada kecelakaan yang mungkin berlaku dengan izinNya.



- أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ.

“Kami hayati waktu pagi dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya pujian. Dialah Yang Mahakuasa atas segala se-suatu. Ya Tuhan, aku mohon kepada-Mu kebaikan di hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu daripada kejahatan hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung denganMu dari kemalasan dan kejelekan di hari tua. Wahai Tuhan! Aku berlindung kepadaMu dari seksaan neraka dan kubur.”


Selepas dua puluh minit memuji dan memohon kepada Allah. Humaira menutup buku Hisnul Muslim. Dia bergerak ke arah Alice yang sedang nyenyak tidur. Humaira menarik selimut Alice. Dia tersenyum sendirian. Dia mengusik jari kaki Alice dan menggerak-gerakkannya untuk mengejutkan supaya bagung dari tidur. Entah siapa yang mengajarkan teknik tersebut tidak diketahuinya. Cuma setakat pengalaman Humaira, ia berkesan mengejutkan seseorang daripada tidur tanpa membuatkan dia terperanjat.


Alice membuka matanya.


“Isy, dah pukul berapa ni. Alice mengantuk lagi lah,” sungut Alice. Kesan keletihan kerana perjalanan jauh semalam masih terasa.


“Dah pagi Amoi oi. Jom bangun, kita sarapan. Alice kena tolong Ira buat breakfast pagi ni.”


“Alice mengantuklah, Ira buatlah sorang-sorang. Nanti dah siap, Ira kejutkan Alice ye,” jawab Alice sambil menarik selimutnya kembali.


“Iii mengada betul amoi ni, bangun-bangun.”


“Yelah, yelah. Kacau betullah Ira ni,” sungut Alice.


“Hah, macam tu lah. Ini nak tidur sahaja, bangun pagi-pagi ni elok. Murah rezeki. Burung pun keluar pagi untuk cari makanan, betul tak cik Alice?” gurau Humaira.


“Yelah, yelah, Ira nak perli Alice lah tu,” jawab Alice sambil ketawa. Mereka berdua teringat kisah di zaman persekolahan mereka. Ketika itu mereka di tingkatan satu. Alice telah menulis satu karangan Bahasa Melayu yang menceritakan tentang kerajinan. Karangan Alice telah mendapat markah yang tertinggi hingga di isi di dalam majalah sekolah mereka. Di dalam karangan tersebut, Alice telah membuat perbandingan antara manusia yang malas dengan burung-burung yang keluar pagi untuk mencari rezeki. Entah bagaimana contoh yang menarik tentang burung itu telah menyebabkan karangannya terpilih di dalam majalah sekolah mereka.


Mereka berdua bergerak ke dapur. Kelihatan makcik Limah sedang menyediakan sarapan untuk mereka berdua.


“La, ibu, kenapa ibu buatkan sarapan, kan Ira dah cakap biar kami sahaja yang sediakan sarapan,” kata Humaira seraya melihat sarapan sudah disediakan.


“Yalah tu, nak tunggu kamu berdua siap, laparlah perut ibu. Dah lah tu, ajak si Alice tu sekali minum. Nanti sejuk pula air dengan bihun goreng ni.”


Alice dan Humaira segera duduk di meja makan. Humaira membaca Basmallah secara perlahan sebelum mula mengambil makanan yang sudah terhidang. Terasa seperti ingin tercekik, Humaira lantas mencapai air yang sudah terhidang tanpa menyedari gelojohnya itu diperhatikan oleh makcik Limah.


“Hah, elok sangatlah tu minum dengan tangan kiri. Nak jadi kawan syaitan,” tegur makcik Limah tatkala melihat Humaira mengambil minuman dengan tangan kiri.


Humaira tersengih, Alice di sebelah seperti kurang faham.


“Ira tak sengajalah ibu, nak cepat sangat, tadi rasa macam nak tercekik. Maaf ya ibu.”


Alice segera cuba merungkai persoalan kepada apa yang dia baru sahaja dengar.


“Kenapa makcik kata Ira nak jadi kawan syaitan?” soal Alice.


“Ooo, sebab minum dengan tangan kiri ni amalan syaitan. Sebab tu makcik tegur Ira tu. Dia tu kalau dah lapar lupa semua.”


“Hmm, Alice tak faham lah Ira. Macam mana ibu Ira boleh tahu kalau kita minum dengan tangan kiri, kita jadi kawan syaitan.”


“Ooo, Alice ingat makcik pernah jumpa syaitan ke,” jawab makcik Limah berseloroh.


“Hehe, kelakarlah ibu ni. Kasihan Alice tu kena gelak.”


Alice turut ketawa. Dia mencari pinggang Humaira untuk dicubitnya. Geram kerana ditertawakan oleh Humaira dan makcik Limah.


“Aduih, sakitlah Alice. Okey, okey. Sorry okey amoi.”


“Hah, tu lah Alice tanya, Ira gelak pulak.”


“Alah Alice janganlah marah. Gurau-gurau sahaja. Okey biar Ira terangkan. Sebenarnya dalam Islam, dalam segala hal telah diajar. Dari bab-bab berkaitan kepercayaan atau belief, sampailah kepada bab-bab kecil seperti adab dalam makan dan minum. Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam pernah sebut lebih kurang begini, Ira pun tidak berapa ingat susunan ayatnya, “Jangan engkau makan dengan tangan kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan tangan kirinya.”


Makcik Limah berselawat dengan perlahan tatkala mendengar Humaira menyebut nama Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Dia teringat bahawa Humaira pernah menyatakan kepada beliau bahawa hanya orang yang kedekut sahaja tidak akan berselawat apabila mendengar nama Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam.


“Oo sampai macam tu sekali ya Islam ajar,” Alice bersuara.


“Banyak lagi sebenarnya adab-adab ketika makan,” sambut Humaira.


“Tapi kan Ira, ramai kawan-kawan Alice yang Islam, selalu sahaja minum dengan tangan kiri. Bukan seorang dua, tapi hampir kesemua kawan-kawan Alice macam tu. Tak pernah pula ada yang tegur.”


“Hmm…,” Humairah mengeluh.


“Bukan semua orang Islam amalkan cara hidup Islam Alice. Cuba Alice tengok dalam surat khabar. Rompak, rasuah, perkosa anak gadis, itu semua dilarang Islam tapi masih ada orang Islam yang buat. Inikan pula hal-hal yang dianggap kecil seperti adab makan ni.”


Alice mendiamkan diri sahaja mendengar penjelasan Humaira. Baru dua hari dia bersama Humaira, sudah banyak pengetahuan tentang Islam yang dia perolehi. Alice merasa hairan, ramai rakan sekuliah beliau di dalam subjek perbandingan agama atau comparative religion di universitinya orang Islam. Tetapi tidak pernah mereka menerangkan tentang Islam kepadanya. Jika dia bertanya mereka tentang Islam, mereka akan cuba mengelak dari menjawab. Tidak tahulah sama ada mereka memang tidak tahu atau sebenarnya malu untuk menerangkan tentang ajaran Islam kerana cara hidup yang adakalanya terpesong dari ajaran Islam.


“Hmm. Ira, Bukhari masih ada hubungi Ira?” tiba-tiba makcik Limah memecah kesunyian.


“Ada bu, banyak kali. Tapi Ira tak jawab pun. Malas,” jawab Humaira ringkas.


“Eloklah kalau begitu. Ibu tak mahu Humaira layan dia lagi. Sudah-sudahlah apa yang sudah berlaku.”


“Insya-allah bu,” jawab Humaira.


Persoalan tentang hubungan Humaira dan Bukhari kembali menerjah masuk ke dalam kotak fikiran Alice.


“Hah, pagi ini, apa rancangan kita Alice. Apa aktiviti kita?” soal Humaira.


“Entah, Alice pun tidak tahu mahu buat apa. Ira ada apa-apa idea?”


“Hmm. Kita jalan-jalan di pekan Tampin nak. Ira pun ada barang yang mahu dibeli.”


“Ok jugak. Pukul berapa kita nak pergi?”


“Dalam pukul sepuluh pagi nanti. Awal-awal sangat pun, kedai tak buka lagi.”


Humaira dan Alice segera mengemas meja makan. Sambil mencuci pinggan mangkuk di sinki. Mereka berdua berbual-bual dan bercerita tentang kisah mereka di zaman sekolah dahulu.


“Alie ingat tak Zaid?”


“Zaid mana ya?” soal Alice.


“Alah, Zaid ketua pengawas sekolah kita dahulu.”


“Ooo, ingat, ingat. Mamat tu pernah try nak tackle Alice, hahaha,” kata Alice sambil tergelak.


“Haah, entah apa lah mamat tu, amoi sepet macam Alice ni juga yang diminatnya.”


“Iii Ira ni. Tapi Alice tak layan. Gatal. Ira ingat tak ada satu hari tu, waktu Alice sampai di kelas, Alice jumpa satu surat dalam laci meja Alice.”


“Haah, lepas tu Alice pergi baca surat tu di hadapan kelas. Habis semua kawan-kawan kita dalam kelas tahu yang Zaid minat kat Alice. Kasihan mamat tu, sudahlah syok sendiri, kantoi pula tu.”


“Tu lah, siapa suruh tackle Alice. Sejak hari tu, dia tak tegur-tegur Alice lagi,” kata Alice.


“Memanglah, malulah dia. Satu kelas dah tahu yang dia suka kat Alice. Jahat betul Alice ni, kasihan dia.”


“Haha. Padan muka. Eh Ira, ada jumpa tidak kawan-kawan lama kita sejak sekolah dahulu. Dah lama Alice tak jumpa mereka. Kita buat reunion nak.”


“Hmm. Menarik juga idea Alice. Boleh kita kumpul kawan-kawan kita. Tapi sempat ke? Alice pun ada dua tiga hari sahaja lagi di sini.”


“Alah, sempat sahaja. Ira ada simpan kan nombor telefon kawan-kawan kita. Kalau dapat lusa pun okey. Paling kurang, kalau tak dapat jumpa semua, dapat jumpa sebahagian kawan-kawan pun okey.


“Okey, nanti Ira call kawan-kawan kita. Eh okeylah, Ira nak naik atas kejap, nak solat. Alice duduk-duduklah dulu. Baca buku ke, jangan tidur sudahlah. Asyik tidur sahaja. Nanti gemuk.”


“Solat, Ira solat apa? Bukan orang Islam solat lima kali sahaja ke? Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib, Isya’. Ni solat apa pula ni?”


“Solat Dhuha lah. Bukan solat wajib, solat sunat sahaja.”


“Oo. Okey Alice pun nak baca buku-buku yang ada di bilik Ira tu.”


Humaira terus bergerak ke bilik air untuk mengambil wudhu. Itulah rutin harian beliau semenjak menjejakkan kaki di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Perkenalan dengan sahabat-sahabat yang mengajaknya menyertai usrah mereka, banyak mengubah gaya kehidupannya, dari biasa-biasa sahaja di dalam kehidupan beragama akhirnya berubah menjadi muslimah yang komited, yang berusaha mengamalkan segala macam bentuk sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Akhirnya, itulah yang membawa Humaira berubah hingga memakai niqab. Satu keputusan yang amat mengejutkan rakan-rakannya. Ada yang bersetuju, ada yang tidak tatkala beliau melahirkan hasrat untuk memakai niqab ataupun purdah.


Berbagai-bagai alasan diberikan oeh rakan-rakan Humaira. Ada yang menyatakan bahawa berniqab ini hanya satu praktis golongan ekstrimis kerana wajah bukanlah aurat, maka menutup wajah adalah satu sikap melampau di dalam beragama. Ada pula yang kurang bersetuju kerana ia mungkin akan menjarakkan lagi hubungan dengan sahabat-sahabat lain sekaligus menyukarkan kerja-kerja dakwah. Humaira mendengar hujah-hujah yang disampaikan oleh sahabat-sahabatnya. Sebenarnya, yang mendorong Humaira untuk berniqab ialah apabila dia membaca perbahasan para ulama’ tentang hukum menutup wajah bagi wanita di sebuah laman sesawang untuk muslimah. Itulah kali pertama beliau mengetahui bahawa ada ulama yang mewajibkan secara mutlaq bagi wanita untuk menutup wajah daripada pandangan lelaki yang bukan mahram.


Di situlah bermulanya. Humaira membaca dan terus membaca. Dia membaca hujah-hujah yang dikemukakan para ulama’ yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan. Akhirnya, Humaira meyakini pandangan ulama’-ulama’ yang menyatakan wajah bukan aurat, akan tetapi digalakkan untuk menutupnya bahkan sunnah kerana terdapat dalil-dalil menunjukkan ia adalah pakaian isteri-isteri Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam. Lebih menarik, apabila Humaira membaca sebuah buku susunan seorang ulama’ hadis terkenal, Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, yang bertajuk ‘Jilbab Wanita Muslimah’. Ulama tersebut berpegang bahawa wajah bukan aurat berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran, hadis dan penafsiran para sahabat, akan tetapi isteri ulama’ tersebut tetap berniqab.

0 comments:

Post a Comment