Thursday, May 27, 2010

Mak Abah, saya minta maaf..




Kasih sayang seorang ibu dan bapa kepada anaknya tidak pernah surut walapun anak itu sudah dewasa. Tetapi, adakah kita juga turut merasakan yang sama? Saya ingin berkongsi luahan hati seorang anak kepada ibu dan bapanya. Semoga, kita dapat mengambil pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu.


Mak,

Eah minta maaf. Eah sudah banyak buat dosa dan salah terhadap mak. Selama ini, Eah buta. Eah tak pernah menampak segala pengorbanan yang dah mak buat untuk Eah. Mak terpaksa bertarung nyawa untuk lahirkan Eah. Mak besarkan Eah dengan kasih sayang yang tidak pernah kurang sedikit pun. Mak suapkan makan, mandikan, pakaikan baju dan macam-macam lagi yang dah mak buat untuk Eah. Bila Eah sakit, mak sanggup bersengkang mata. Hanya untuk memastikan Eah sentiasa selesa. Masa hujan lebat, mak peluk Eah erat, untuk hilangkan rasa takut pada bunyi guruh. Sedetik pun mak tak pernah terlupa untuk lakukan semua itu. Disebabkan kebutaan hati ini, Eah tak menilai semua itu. Dan yang paling Eah syukuri, mak redha dengan kelahiran Eah sebagai anak Mak. Terima kasih mak.

Mak,

Eah minta ampun sebab Eah tuli selama ini. Sepanjang hidup ini, sudah banyak yang mak tegur dan beri nasihat. Tapi, Eah tak pernah endahkan semua itu. Padahal, teguran yang mak bagi itu untuk Eah jadi anak yang baik dan solehah, tetap Eah hindarkan. Malah Eah tengking-tengking mak suruh diam.Nasihat-nasihat murni yang mak beri Eah anggap hanyalah sebuah bebelan yang membingitkan telinga. Tapi..tapi, sebenarnya, mak tak pernah macam itu pun dekat Eah dulu. Mak setia mendengar rengekkan Eah sepanjang hari. Mak layan setiap kerenah Eah yang suka berlari sana sini. Semua yang Eah minta, mak penuhi. Sampaikan Eah campak pinggan nasi sebab lauk yang mak masak pedas, pun mak sabar saja. Malah, mak tak simpan rasa kecil hati dekat Eah, walaupun hati mak Eah toreh-toreh.

Abah,

Sepanjang Eah hidup, Eah tak pernah jumpa orang yang seikhlas abah. Eah hidup sihat sekarang ini pun tak lain tak bukan kerana penat lelah abah bekerja juga. Daripada Eah lahir, sampailah sekarang, abahlah yang bagi Eah makan dan minum. Abah juga yang beli pakaian Eah. Abahlah yang pening-pening nak cari duit bila Eah minta labtop percuma dari abah. Abahlah segala-gala punca rezeki dalam keluarga kita. Dan penat lelah yang abah rasa, tak pernah pun abah kongsi. Abah simpan sendiri saja. Malah Eah tambahkan lagi beban abah dengan perangai Eah yang tak senonoh. Eah juga terlalu berkeras hati untuk tidak hormatkan abah. Malah Eah hormatkan orang yang seusia abah lebih berbanding Eah hormat abah sendiri. Kenapalah Eah tak pernah menilai semua pengorbanan yang telah abah lakukan secara PERCUMA untuk Eah.

Mak, Abah,

Tak ada tempat yang buat Eah rasa selesa selain daripada berada di sisi mak dan abah. Kalau bukan kerana mak dan abah, Eah tak mungkin dapat lihat keindahan alam ciptaan Allah. Tanpa kesabaran dan ketabahan mak dan abah, belum tentu Eah dapat membesar dalam situasi yang seselesa sekarang. Tanpa didikan dan asuhan mak dan abah selama ini, mungkin Eah tak akan berjaya seperti sekarang. Mak, abah, Eah minta maaf kalau kata-kata Eah selama ini ada yang kasar dan mengguris hati. Eah mohon ampun kalau segala perbuatan Eah selama ini menyakitkan pandangan mata mak dan abah, yang boleh buat mak dan abah terasa hati, Eah betul-betul minta maaf. Ketahuilah, sekarang ini tak perkataan yang lebih bermakna selain daripada, ‘mak dengan abah maafkan Eah‘.

0 comments:

Post a Comment